Himpunan LGBT: Penganjur telah dipanggil polis

Mazlan Lazim
A
A

KUALA LUMPUR - Polis sudah memanggil beberapa individu yang merupakan penganjur himpunan Lesbian, Gay, Bisexual dan Transgender (LGBT) 9 Mac lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, ada ramai penganjur yang terlibat dalam perhimpunan itu dan polis telah memanggil sebahagian daripada mereka.

"Dan polis akan memanggil beberapa lagi individu bagi polis melengkapkan siasatan," katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Himpunan itu diadakan sempena Hari Wanita Antarabangsa di hadapan Kompleks Beli-belah Sogo di sini kemudian berarak di Dataran Merdeka.

Terdahulu media melaporkan Ketua Polis Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharudin Abdullah berkata, perhimpunan berkenaan dilakukan tanpa mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa dan penganjur hanya memberi notis pemberitahuan kurang 10 hari daripada tarikh perhimpunan.

Sementara Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mujahid Yusof menyifatkan perbuatan itu sebagai tidak bertanggungjawab dan salah guna kuasa demokrasi.

Susulan perhimpunan itu, pelbagai pihak khususnya badan bukan kerajaan (NGO) Islam membuat laporan polis mendesak pihak berkuasa bertindak tegas.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis panggil penganjur himpunan LGBT