MCA Johor tubuh jawatankuasa pengurusan banjir

Wee Ka Siong
Wee Ka Siong
A
A
A

JOHOR BAHRU - MCA Johor menubuhkan satu Jawatankuasa Khas Pengurusan Banjir melibatkan seramai 650 ahli parti dan masyarakat yang menjadi sukarelawan sebagai persiapan menghadapi banjir di negeri ini.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, jawatankuasa tersebut akan dibahagikan kepada tiga zon iaitu utara, tengah dan selatan.

Menurutnya, langkah membahagikan jawatankuasa ini kepada tiga zon bagi membolehkan sukarelawan digerakkan ke lokasi banjir dengan lebih berkesan.

"Jawatankuasa ini akan disertai sukarelawan MCA dan juga anggota pasukan bomba sukarelawan (PBS) serta masyarakat awam yang mempunyai pengalaman dalam berdepan situasi bencana banjir.

"Selain itu jawatankuasa ini akan diketuai Setiausaha MCA Johor, Ng Keng Heng," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan MCA Johor secara hibrid di Ibu Pejabat MCA Johor, Jalan Kebun Teh di sini pada Khamis.

Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran waspada pada Rabu bahawa Johor akan dilanda hujan berterusan.

Susulan itu, Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara mengeluarkan ramalan awal banjir di Johor mulai 1 Januari melibatkan beberapa kawasan di sekitar Sungai Mersing, Sungai Endau, Sungai Johor, Sungai Skudai dan Sungai Tebrau.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tujuan jawatankuasa itu diwujudkan adalah untuk memberi respon segera dalam situasi banjir sama ada melibatkan usaha menyelamat mangsa atau kerja-kerja pembersihan.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahu, ketika ini, lebih 100 sukarelawan parti baharu pulang daripada membantu mangsa banjir di negeri-negeri yang terjejas antaranya di Selangor dan Pahang.

Ka Siong yang juga Menteri Pengangkutan berkata, selain dianggotai 650 sukarelawan, jawatankuasa berkenaan turut mempunyai aset membabitkan lima bot dan 20 kenderaan pacuan empat roda.

"Sejak dahulu, MCA memang banyak terlibat dalam kerja-kerja sukarelawan, jadi apabila terdapat kemungkinan berlaku bencana banjir pastinya kita akan bersiap sedia untuk membantu masyarakat," ujarnya.