Covid-19: Bahagian II Akta 829 dilanjut hingga 22 Oktober

Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar
Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar
A
A
A

PUTRAJAYA - Tempoh kuat kuasa Bahagian II (ketidakupayaan melaksanakan obligasi kontraktual) Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Impak Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 [Akta 829] yang akan luput pada 31 Disember 2021 telah dilanjutkan dari 1 Januari sehingga 22 Oktober 2022.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ia adalah selaras dengan peruntukan subseksyen 5(2) Akta 829, iaitu menteri boleh melalui perintah yang disiarkan dalam Warta, melanjutkan tempoh kuat kuasa Bahagian II yang pelanjutannya tidak boleh melebihi tempoh kuat kuasa Akta 829.

Wan Junaidi dalam kenyataan pada Khamis berkata, pelanjutan itu telah mendapat persetujuan Jemaah Menteri pada 22 Disember.

“Pelanjutan ini adalah bagi memastikan penyelarasan pelaksanaan Akta 829 yang efektif dan progresif selaras pindaan yang dibuat baru-baru ini,” katanya.

Pindaan kepada Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Impak Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 [Akta 829] telah dibentangkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan diluluskan Dewan Rakyat pada 16 Disember dan di Dewan Negara pada 22 Disember sebulat suara.

Wan Junaidi berkata, pindaan Akta 829 itu adalah komitmen kerajaan untuk mengurangkan impak perundangan disebabkan oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan Covid-19.

“Akta ini memberi kelegaan sementara kepada pihak-pihak daripada melaksanakan obligasi kontraktual untuk tempoh tertentu,” katanya.

Beliau berkata, pindaan kepada subseksyen 9(1) Bahagian II Ketidakupayaan Melaksanakan Obligasi Kontraktual akan membantu inisiatif pengantaraan di bawah Pusat Mediasi Covid-19 (PMC-19), sebuah agensi kerajaan yang ditubuhkan pada November 2020.

Artikel Berkaitan:

Melalui pindaan ini, semua jenis kontrak komersial yang terkesan akibat PKP bagi membendung penularan Covid-19 boleh dirujuk ke PMC-19 berbanding hanya sembilan kategori kontrak sebelum ini yang ditetapkan dalam Jadual Seksyen 7.

PMC-19 sedang bekerjasama dengan Majlis Peguam, Persatuan Peguambela Sarawak dan Persatuan Undang-Undang Sabah bagi melaksanakan perkhidmatan mediasi bagi individu dan syarikat yang terkesan dengan impak pelaksanaan PKP bagi menangani penularan Covid-19.

Majlis Peguam bersama kerajaan telah melancarkan kempen Mediate First Pledge pada 18 November lepas apabila peguam berikrar untuk membantu klien yang mencari penyelesaian pantas terhadap pertikaian kontrak berikutan pelaksanaan PKP.

Kira-kira 50 firma undang-undang telah menyediakan Mediate First Pledge dan senarai itu boleh didapati di laman web PMC-19.

Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 [Akta 829] telah diwartakan pada 23 Oktober 2020 dan berkuat kuasa bagi tempoh dua tahun dari tarikh penyiaran dalam Warta Kerajaan. - Bernama

TAG: COVID-19, Akta 829, kerajaan, pelanjutan