Sila log masuk terlebih dahulu.

Empat suspek kes pecah rumah diberkas

Ahmad Ridhwan (tengah) menunjukkan barangan yang dirampas.
Ahmad Ridhwan (tengah) menunjukkan barangan yang dirampas.
A
A
A

KUALA LANGAT - Empat lelaki diberkas kerana disyaki memecah masuk sebuah rumah di Batu 10 Telok Panglima Garang di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 51 tahun yang bekerja sebagai pemandu mendakwa rumahnya telah dipecah masuk.

"Barang-barang yang hilang adalah topi keledar jenis LS2, pasport, kunci kenderaan dan sebuah kereta jenis Proton Iswara milik majikannya," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ahmad Ridhwan berkata, seramai tiga lelaki termasuk seorang lelaki warga asing ditahan di sebuah premis kimpalan paip yang telah lama tidak beroperasi di Seksyen 36, Shah Alam pada hari sama

"Kita berjaya menemui semula kunci dan kenderaan mangsa serta merampas sebuah motosikal yang dilaporkan hilang di Klang," katanya.

Beliau berkata, hasil soal siasat, seorang lelaki yang juga ketua kumpulan itu telah ditahan dalam serbuan kedua di lokasi berdekatan premis berkenaan serta merampas semula pasport milik mangsa.

"Kesemua suspek berusia 30-an itu tidak bekerja dan hasil semakan mendapat kesemua mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.

"Ketua kumpulan itu mempunyai 21 rekod jenayah lampau," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ahmad Ridhwan memaklumkan kesemua suspek direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457/379A Kanun Keseksaan.