Sara hidup dengan hasil motosikal curi

 Antara yang ditahan polis dipercayai terlibat dalam kes curi motosikal.
Antara yang ditahan polis dipercayai terlibat dalam kes curi motosikal.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kegiatan 'menyara' hidup hasil menjual alat ganti motosikal curi sejak beberapa bulan akhirnya terbongkar apabila perbuatan mereka berjaya dihidu polis.

Bertindak hasil maklumat dan risikan, sepasukan polis dari Balai Polis Wangsa Maju telah menyerbu sebuah rumah di Seksyen 4, Wangsa Maju, di sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Wangsa Maju, Superintendan Noor Azmi Yusoff berkata, serbuan pertama kira-kira jam 11 pagi membawa penahanan seorang lelaki.

"Soal siasat terhadap suspek ini telah membawa kepada serbuan kira-kira jam 1.20 petang, kelmarin, di sebuah rumah terletak di Jalan Kilang Setapak, Kuala Lumpur, dengan penahanan dua lagi rakan suspek.

"Susulan itu, pada keesokan harinya, bertindak atas maklumat yang diterima, tiga lagi rakan suspek termasuk seorang wanita juga turut berjaya diberkas dalam serbuan berasingan di Kampung Kemensah, Ulu Klang, Ampang," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata, susulan penahanan enam orang suspek berusia lingkungan 17 hingga 39 tahun ini, polis telah merampas lima buah motosikal serta pelbagai alat ganti disyaki hasil curi.

Katanya, pemeriksaan mendapati dua daripada motosikal berkenaan merupakan motosikal curi, dua lagi tiada rekod curi tetapi digunakan untuk lakukan jenayah dan sebuah lagi didapati terdapat kesan nombor casis yang telah diubah suai serta masih dalam semakan.

"Siasatan awal mendapati, suspek ini telah aktif mencuri motosikal sejak awal tahun lalu. Kumpulan ini akan mensasarkan motosikal di beberapa kawasan sebelum menjualnya berdasarkan permintaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, kesemua suspek kini sedang direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.