YIM bantu pendawaian elektrik mangsa banjir di Pahang, Selangor

Mohd Zulafendi memeriksa pendawaian elektrik di rumah salah seorang mangsa banjir di PAKR Bukit Rangin pada Khamis.
Mohd Zulafendi memeriksa pendawaian elektrik di rumah salah seorang mangsa banjir di PAKR Bukit Rangin pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) kini menjalankan pemeriksaan pendawaian elektrik secara percuma bagi kediaman penduduk yang terjejas teruk akibat musibah banjir di Pahang dan Selangor.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, perkhidmatan itu diberikan bagi memastikan kediaman mangsa banjir yang ditenggelami air selamat daripada sebarang litar pintas.

Dr Adham
Dr Adham

Menurutnya, selain pendawaian elektrik rumah, pihaknya juga membantu membaik pulih kerosakan peralatan elektrik dan elektronik serta memberi khidmat nasihat mengenai penggunaan barangan yang ditenggelami banjir.

"Ini adalah sebahagian daripada usaha oleh pihak kita (Mosti) dalam membantu mangsa banjir dan tugas itu bukan hanya tertumpu kepada pembersihan rumah tetapi turut membabitkan kerja pembaikan barangan elektrik dan pendawaian rumah.

"Perkhidmatan ini, kita tawarkan melalui program 'mobile fix' dan pasukan terbabit sudah menjalankan tugas pembaikan di sekitar kawasan Selangor manakala di Pahang pula di kawasan Parlimen Paya Besar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas berakhirnya program penyerahan bantuan banjir Mosti di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Bukit Rangin di sini pada Khamis.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Mohd Shahar Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), Sharmila Mohamed Salleh.

Artikel Berkaitan:

Beliau menjelaskan, pemeriksaan pendawaian elektrik di kawasan taman PAKR Bukit Rangin akan dilakukan dengan kerjasama Institut Latihan Perindustrian Pekan dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan.

Katanya, seramai 23 pelatih telah ditempatkan di taman perumahan itu yang membabitkan 750 rumah.

"Kerja-kerja pemeriksaan pendawaian ini sudah bermula pada Rabu dan pada hari ini (Khamis) sebanyak 100 rumah mangsa akan diperiksa. Bakinya kita akan periksa secara berperingkat.

"Pemeriksaan ini dilakukan memandangkan kawasan ini (Taman PAKR Bukit Rangin) ditenggelami air setinggi 1.8 meter menyebabkan soket dimasuki air dan berkemungkinan boleh menjejaskan pendawaian elektrik," ujarnya.

Sementara itu, Pegawai Latihan Vokasional IKBN Pekan, Mohd Zulafendi Abdullah, 44, berkata, seramai 13 tenaga pengajar dan pelatih telah digerakkan bagi tujuan itu.

"Projek ini bermula semalam (Rabu) dan dijangka berakhir pada akhir Januari ini. Kita menyasarkan 1,000 rumah yang terjejas teruk akibat banjir akan diperiksa.

"Kita bukan sahaja memeriksa pendawaian elektrik, tetapi turut menukar soket dan membaiki perkakas elektrik milik mangsa bagi memastikan keselamatan penduduk," katanya.