X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 27 Januari 2022

UAE bantu warga Mindef terjejas banjir

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (dua, kiri) melawat ruang pameran selepas mendengar penerangan mengenai Op Murni di Markas 8 Briged, Pengkalan Chepa hari ini. - Foto Bernama
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) berbesar hati menyalurkan sumbangan barang keperluan asas khusus buat anggota, veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan warga awam Kementerian Pertahanan (Mindef) yang terkesan akibat banjir.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, sumbangan itu akan memberi manfaat kepada 775 keluarga dengan melibatkan lebih 3,000 mangsa di seluruh negara.

Menurutnya, antara sumbangan yang disalurkan ialah sejadah, telekung, al-Quran, bakul makanan asas, barangan kebersihan diri dan keperluan lain termasuk cadar serta tilam.

"Bagi pihak kerajaan Malaysia, Mindef dan ATM, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan UAE kerana sentiasa bersama-sama Malaysia ketika negara ini ditimpa musibah.

"Ia bukan sahaja membuktikan keprihatinan kerajaan UAE tetapi juga menyerlahkan keakraban hubungan dua hala antara kedua-dua negara sejak sekian lama," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Beliau sebelum itu hadir mendengar taklimat agensi yang terlibat dalam persediaan banjir gelombang kedua di Markas 8 Briged, Kem Pengkalan Chepa di sini.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, beliau secara peribadi turut menegaskan bahawa fokus juga perlu diberikan bagi membantu veteran-veteran ATM yang terkesan akibat banjir di beberapa negeri ketika ini.

Katanya, ia termasuklah memberikan bantuan wang tunai secara 'one-off' kepada mereka.

"Bantuan ini merupakan tambahan kepada bantuan khas RM1,000 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini serta bantuan yang disumbangkan oleh kerajaan negeri masing-masing.

"Bagi pihak Mindef dan ATM, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua syarikat yang tampil menghulurkan sumbangan untuk bersama-sama membela kebajikan warga Mindef serta ATM di saat memerlukan.

"Ia selari dengan peringatan saya beberapa kali sebelum ini khususnya kepada syarikat industri pertahanan bahawa kerjasama mereka bersama Mindef mestilah bersandarkan kepentingan keselamatan negara serta kebajikan anggota, veteran ATM dan awam Mindef, bukannya demi keuntungan," ujarnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!