Pembersihan sampah pasca banjir Taman Sri Muda selesai 35 peratus

Sampah sarap yang terhasil dilupuskan oleh pengurusan KDEB Waste Management (KDEBWM) setelah banjir mulai surut. - Foto Bernama (Gambar kecil: Ramli)
Sampah sarap yang terhasil dilupuskan oleh pengurusan KDEB Waste Management (KDEBWM) setelah banjir mulai surut. - Foto Bernama (Gambar kecil: Ramli)
A
A
A

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Kerja pembersihan pasca banjir oleh KDEB Waste Management (KDEBWM) di Taman Sri Muda di sini telah selesai sebanyak 35 peratus.

Pengarah Urusan KDEBWM, Ramli Mohd Tahir berkata, sebanyak 90 lori Roll On Roll Off (Roro) dan lebih 400 pekerja pembersihan telah digerakkan ke kawasan itu pada Khamis.

Menurutnya, aset tambahan seperti jengkaut turut digunakan bagi melancarkan dan mempercepatkan kerja-kerja kutipan sampah di kawasan itu.

"Pembersihan di kawasan Taman Sri Muda telah bermula pada 23 Disember lepas sebaik banjir surut dan laluan jalan dibuka bagi jentera-jentera pembersihan dan kutipan.

"Pada Rabu, sejumlah 3,292 tan sampah pasca banjir dikutip dengan jumlah keseluruhan 22,000 tan sampah sepanjang sembilan hari operasi pembersihan pasca banjir dijalankan di Selangor," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, kerja-kerja pembersihan kini lebih tertumpu di kawasan kritikal seperti di Taman Sri Muda dan Padang Jawa (Shah Alam), Taman Sri Nanding dan Sungai Lui (Kajang), Kampung Bukit Lanchong di Subang Jaya dan Bukit Changgang di Kuala Langat.

Tambahnya, operasi pembersihan akan terus ditingkatkan dalam usaha menangani lambakan sampah disebabkan oleh bencana banjir ini.

"KDEBWM bersama kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan akan terus memberikan segala usaha dan komitmen dalam menyelesaikan kerja-kerja pembersihan pasca banjir di Selangor," katanya.

Artikel Berkaitan: