Sila log masuk terlebih dahulu.

Dapur proses air ketum diserbu polis

Dua periuk besar digunakan untuk memproses air ketum. (Gambar kecil: Abdul Rahim)
Dua periuk besar digunakan untuk memproses air ketum. (Gambar kecil: Abdul Rahim)
A
A
A

KOTA BHARU - Polis berjaya menahan empat lelaki yang sedang leka memproses air ketum di dalam dua periuk bersaiz besar di dapur sebuah rumah di Kampung Padang Bonggor, di sini dalam satu serbuan pada Rabu.

Dalam serbuan pada jam 7.45 malam itu, polis turut merampas daun serta air ketum yang dianggarkan bernilai RM1,000.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu susulan maklumat dan aduan daripada orang awam berhubung kegiatan itu.

“Ketika serbuan kita dapati ada empat lelaki yang berusia antara 20 tahun hingga 28 tahun di dalam rumah itu dan menahan mereka.

“Pemeriksaan turut menjumpai peralatan memproses daun ketum, daun ketum dan bungkusan air ketum yang sudah siap diproses serta air daun ketum dalam dua periuk bersaiz besar yang dianggarkan 101 dan 127 sentimeter,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perhimpunan Bulan IPD Kota Bharu yang dihadiri lebih 100 anggota, pegawai serta kakitangan awam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Artikel Berkaitan:

Air ketum yang siap dibungkus disimpan di dalam kotak-kotak ais sebelum diedarkan kepada pelanggan.
Air ketum yang siap dibungkus disimpan di dalam kotak-kotak ais sebelum diedarkan kepada pelanggan.

Mengulas lanjut, Abdul Rahim berkata, turut ditemui di bahagian dapur rumah terbabit ialah perkakas memproses air ketum termasuk dua dapur, lapan periuk pelbagai saiz, enam tong gas, tiga bekas ais dan sebuah penimbang elektrik.

Beliau berkata, pemeriksaan di dalam dua periuk besar itu didapati mengandungi daun berwarna keperangan dipercayai ketum dan sebungkus plastik berwarna hitam berisi daun ketum.

“Turut dirampas kotak-kotak berisi 51 plastik mengandungi cecair keperangan yang dipercayai air ketum dan enam bungkusan plastik berisi daun ketum. Sebuah kereta jenis Proton Gen 2 turut dirampas untuk tujuan siasatan lanjut.

“Ujian urin mendapati salah seorang daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine manakala selainnya adalah negatif dadah. Kesemua suspek direman selama empat hari bermula Rabu hingga Sabtu ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, indeks jenayah di daerah Kota Bharu pada tahun ini setakat Rabu keseluruhannya menunjukkan penurunan sebanyak 176 kes kepada 788 kes berbanding 964 kes pada tahun lalu.

“Penurunan indeks sebanyak 18.26 peratus ini adalah kejayaan seluruh warga IPD Kota Bharu yang bertungkus-lumus dalam melaksanakan penugasan dengan cemerlang.

“Bagaimanapun jenayah rogol mencatatkan peningkatan daripada 15 kes tahun lalu kepada 28 kes tahun ini yang kebanyakan melibatkan mangsa suka sama suka namun masih di bawah umur,” jelasnya.