Mangsa banjir digesa daftar untuk Bantuan Wang Ihsan

Mohd Shahar (dua, kanan) dan Dr. Adham (dua,kiri) bersama mangsa banjir di PAKR Bukit Rangin pada Khamis.
Mohd Shahar (dua, kanan) dan Dr. Adham (dua,kiri) bersama mangsa banjir di PAKR Bukit Rangin pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Mangsa banjir di seluruh negara yang masih belum mendaftar digesa membuat pengesahan dengan ketua komuniti setempat bagi memudahkan Bantuan Wang Ihsan RM1,000 disalurkan kepada mereka.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, gesaan itu dibuat memandangkan masih ada mangsa banjir yang tidak membuat pendaftaran khususnya mereka yang tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Menurutnya, tiada dokumen diperlukan oleh setiap ketua isi rumah (KIR) sebaliknya mereka hanya perlu bertemu dengan ketua komuniti bagi membuat pengesahan kerana proses pendaftaran sudah dipermudahkan oleh kerajaan.

"Kita minta supaya mangsa yang belum daftar, segera mendaftar. Kerajaan telah mempermudahkan urusan, jadi kita mohon kerjasama semua mangsa banjir yang terjejas supaya segera membuat pengesahan dengan ketua komuniti setempat di kawasan mereka tinggal.

"Bantuan fasa pertama wang ihsan ini telah pun diberikan. Jadi, kita tidak mahu ada mangsa banjir yang tertinggal sedangkan mereka juga layak menerimanya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas berakhirnya program penyerahan bantuan banjir Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Bukit Rangin di sini pada Khamis.

Hadir sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), Sharmila Mohamed Salleh.

Mohd Shahar menjelaskan, selepas pengesahan dibuat, ketua komuniti setempat akan menyerahkan maklumat KIR kepada pejabat daerah sebelum diserahkan kepada kerajaan Pahang dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk penyelarasan bantuan.

Artikel Berkaitan:

"Kita sebolehnya mahu mereka yang layak mendapat bantuan, jangan nanti ada yang merungut kerana bantuan diagihkan berdasarkan data yang disahkan oleh ketua komuniti setempat," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat khususnya mereka yang terkesan dengan banjir supaya bersiap siaga menghadapi segala kemungkinan yang bakal berlaku.

"Kita tidak mahu berlaku gelombang kedua banjir, tapi dalam masa yang sama kita perlu bersedia bagi memastikan perkara tidak diingini berlaku seperti kehilangan nyawa.

"Apa yang penting, kita mesti mempunyai keutamaan dalam apa sahaja tindakan kita dalam tempoh banjir," katanya.