804 penjawat awam terlibat dadah ditahan

Datuk Razarudin Husain ketika sidang media mengenai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Kompleks Narkotik Pulapol Kuala Lumpur pada Khamis. - Foto Bernama
Datuk Razarudin Husain ketika sidang media mengenai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Kompleks Narkotik Pulapol Kuala Lumpur pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 804 penjawat awam yang terlibat dengan kesalahan berkaitan dadah ditahan sejak 1 Januari hingga 30 November lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata, daripada jumlah itu seramai 346 pegawai dan anggota polis telah ditahan.

"Kita turut menahan 104 individu daripada Angkatan Tentera Malaysia, 14 daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat dan 340 daripada agensi serta jabatan kerajaan lain," katanya ketika sidang akhbar di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) di sini pada Khamis.

Razarudin berkata, jumlah tangkapan melibatkan penjawat awam membabitkan kesalahan dadah tahun ini menunjukkan penurunan berbanding 1,042 tangkapan tahun lalu.

“Jumlah pegawai dan anggota polis yang ditahan pada tahun ini juga menunjukkan penurunan di mana seramai 408 telah ditangkap pada tahun lalu," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pelbagai jabatan Polis Diraja Malaysia termasuk Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) turut melakukan pemeriksaan mengejut seperti ujian air kencing terhadap semua pegawai dan anggotanya.

"Masalah ini masih di tahap terkawal kerana kita sentiasa menjalankan pemeriksaan ke atas pegawai dan anggota polis.

"Kita akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat dengan sebarang jenayah terutama melibatkan dadah tanpa rasa takut atau pilih kasih," jelasnya.

Artikel Berkaitan: