Pegawai bank rugi RM104,000 ditipu Macau Scam

No Image Caption
A
A
A

SEREMBAN - Seorang pegawai bank mengalami kerugian RM104,000 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang mendakwa kad kredit miliknya terlibat dalam transaksi pembayaran Oversea Bitcoin pada Rabu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Abd Ghani berkata, mangsa merupakan wanita berusia 47 tahun menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang mengaku pegawai sebuah bank kira-kira jam 9 pagi.

Menurutnya, wanita berkenaan memaklumkan terdapat transaksi daripada kad kredit mangsa berjumlah RM4,663 kepada Oversea Bitcoin sebelum panggilan disambungkan kepada wakil pihak 'Bank Negara' bernama Sarah.

"Sarah memberitahu terdapat transaksi atas nama mangsa serta menunjukkan laporan telah dibuat ke atas wanita itu.

"Mangsa kemudiannya bercakap dengan seorang lelaki yang memintanya mengemaskini pita magnetik pada kad," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Aibee berkata, lelaki tersebut turut meminta mangsa senaraikan kad bank yang ada dan menyuruh mangsa menukar nombor pin di mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

"Mangsa memberikan maklumat yang diminta tanpa menyedari ia adalah kegiatan jenayah Macau Scam.

"Selepas berasa tidak sedap hati, mangsa membuat semakan akaunnya di sebuah bank dan mendapati terdapat dua pengeluaran wang daripada akaunnya sebanyak RM104,000," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, mangsa kemudiannya tampil membuat laporan polis pada hari kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.