Sakit bukan penghalang untuk raih 9A dalam SPM

Khairul Najwa bersama bapanya ketika mengambil keputusan SPM.
Khairul Najwa bersama bapanya ketika mengambil keputusan SPM.
A
A
A

YAN - Meskipun mengalami masalah kesihatan kerana asma ketika hampir menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) namun semangatnya untuk terus belajar tidak pernah hilang.

Khairul Najwa Abidin pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu 17 berjaya memperoleh keputusan cemerlang 9A.

Khairul Najwa yang mendapat 5A dan 4A- itu berkata, dia diserang penyakit itu secara tiba-tiba pada bulan September dan Oktober sebelum menduduki peperiksaan SPM pada November tahun lepas.

"Memang mula-mula saya rasa agak tertekan juga sebab saya tak pernah kena asma sebelum ini, bila hampir nak SPM, terkena asma pula," katanya.

Khairul Najwa merupakan satu-satunya pelajar cemerlang SMK Batu 17 yang memperoleh 9A dalam SPM.

Khairul mendapat A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu; Sains, Perniagaan; Pendidikan Islam; Pertanian, manakala Bahasa Inggeris, Matematik; Pendidikan Seni Visual dan Sejarah dia memperoleh A-.

Anak bongsu daripada lima beradik itu berkata, dia sentiasa berfikiran positif dan sering memujuk hati sendiri.

"Saya berusaha belajar dari rumah termasuk mengetahui perkembangan semasa daripada guru dan rakan lain menerusi kumpulan kelas menerusi WhatsApp," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Khairul Najwa, dia juga seorang yang sentiasa fokus ketika berada di dalam kelas sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran.

"Saya tidak ada rahsia lain. Cumanya fokus waktu cikgu ajar dalam kelas, bila saya fokus, saya tidak akan ketinggalan apa cikgu ajar.

"Saya juga ada membantu kawan-kawan lain mengulang kaji pelajaran. Bagi saya lagi banyak kita ajar orang lagi cepat kita faham," katanya.

Menurutnya, perancangannya selepas ini adalah ingin menyambung pengajian dalam bidang Diploma Animasi di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kerana bercita-cita menjadi seorang animator berjaya suatu hari nanti.

"Saya minat melukis, masa saya Tingkatan 3, abang saya suka 'download' cerita anime Jepun. Sejak itu saya minat dengan lukisan animasi ini, saya memang nak ambil bidang animasi," katanya.

Menurut bapanya, Abidin Sin, 65, yang hanya berniaga nasi lemak di sebuah warung, dia berasa sangat bangga dengan pencapaian anaknya itu dan berharap Khairul Najwa terus berjaya dalam hidupnya.