Jumlah mangsa banjir di empat negeri kekal, Melaka catat penurunan

Penduduk mendayung sampan untuk keluar melakukan aktiviti harian berikutan kawasan kediaman masih digenangi air sejak seminggu lalu ketika tinjauan di Kampung Tersang, Rantau Panjang pada Rabu. - Foto Bernama
Penduduk mendayung sampan untuk keluar melakukan aktiviti harian berikutan kawasan kediaman masih digenangi air sejak seminggu lalu ketika tinjauan di Kampung Tersang, Rantau Panjang pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah mangsa banjir di empat negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pahang dan Kelantan masih kekal, manakala di Melaka mencatatkan penurunan pagi Khamis.

Di SELANGOR, aplikasi Info Bencana JKM melaporkan jumlah mangsa di negeri itu setakat pagi Khamis masih kekal 2,281 individu daripada 563 keluarga yang ditempatkan di 13 pusat pemindahan sementara (PPS) banjir.

Sementara itu, laman web publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan Sungai Rasau di Tugu Keris, Klang mencatatkan bacaan di paras amaran iaitu pada ketinggian 3.61 meter setakat 7 pagi dan kini dalam trend menurun.

Polis Selangor memaklumkan lima jalan di negeri itu masih ditutup setakat 4 pagi Khamis untuk laluan kenderaan iaitu melibatkan jalan di Jambatan FT 31 Dengkil-Banting; Jalan Kampung Kalong Tengah, Ulu Yam Baru dan Jalan Genting Peras-Kuala Klawang.

Di NEGERI SEMBILAN, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Lt Kol (PA) Mohd Syukri Madnor berkata, mangsa banjir di negeri itu kekal kepada 29 individu daripada sembilan keluarga berada di sebuah PPS di Jelebu setakat pagi Khamis.

Di PAHANG, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri melaporkan sejumlah 5,987 mangsa banjir masih berada di 42 PPS di lima daerah pada pagi ini.

Daerah terlibat ialah Bentong, Temerloh, Maran, Kuantan dan Pekan.

Jabatan Meteorologi pula meramalkan cuaca hujan di semua daerah terbabit pada pagi Khamis.

Artikel Berkaitan:

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir kekal 31 orang daripada lima keluarga melibatkan satu PPS dibuka iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh di Pasir Mas, setakat 7 pagi Khamis.

Sementara itu, portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui https://publicinfobanjir.water.gov.my, melaporkan tiada sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya.

Manakala di MELAKA, jumlah mangsa banjir merekodkan penurunan kepada 16 orang daripada empat keluarga setakat 8 pagi Khamis berbanding 26 orang daripada lapan keluarga pada 8 malam Rabu.

Pengarah APM Melaka, Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, kesemua mangsa terlibat ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Penghulu Benteng di Jasin. - Bernama