Hidup sepakat membawa berkat

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KEJADIAN bencana banjir yang berlaku di beberapa daerah di Selangor, Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka baru-baru ini telah mendapat perhatian pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama dalam menghulurkan bantuan kepada mangsa terlibat.

Orang awam sebagai sukarelawan bersama-sama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terbabit dalam menghulurkan pelbagai bentuk bantuan untuk membantu mangsa bencana alam.

Semangat bersatu padu dan permuafakatan serta sikap tolong-menolong yang ada dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini telah sekian lama terjalin kerana prinsip itu dipelihara dengan perasaan muhibah dan harmoni.

Bagi sesebuah masyarakat, kemajuan dan kemakmuran yang dicapai adalah berpaksikan kepada permuafakatan.

Permuafakatan yang wujud akan melahirkan perpaduan dan kesejahteraan hidup.

Tanpa sikap tolak ansur dan bekerjasama di antara satu sama lain akan mewujudkan masyarakat yang hanya mementingkan diri sendiri di samping akan berbalah sesama sendiri.

Dalam hidup bermasyarakat ini juga, kita perlu mewujudkan masyarakat yang sentiasa mengambil berat antara satu sama lain tanpa memikirkan ideologi ataupun fahaman politik masing-masing.

Dalam kenyataan Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye sebelum ini memaklumkan, walaupun rakyat negara ini terpaksa menanggung pelbagai bebanan dan menghadapi kesukaran terutama golongan B40, namun satu perkara yang membanggakan adalah semangat kerjasama dan saling bantu-membantu tanpa mempedulikan isu kaum, bangsa dan agama.

Artikel Berkaitan:

“Sikap membantu sesama kita sudah menjadi satu trend yang sangat positif, sekali gus membuktikan perpaduan rakyat negara ini ketika berdepan krisis adalah pada tahap yang sangat memberangsangkan,” katanya.

Lam Thye berharap, sikap positif itu akan sentiasa diterjemahkan dalam masyarakat sebagaimana perpaduan ketika menghadapi wabak pandemik.

“Rakyat Malaysia harus mempelajari pengalaman yang diperoleh daripada kesengsaraan wabak Covid-19 supaya kita menjadi lebih bersiap siaga pada masa hadapan,” katanya.

Beliau juga berharap sikap perpaduan itu tidak hanya wujud ketika pandemik, sebaliknya dikekalkan pada bila-bila masa dalam apa juga keadaan.

“Kita seharusnya tetap bersatu tanpa perlu berada dalam keadaan sukar mahupun krisis dan sesungguhnya untuk menjadi negara yang berjaya, perpaduan adalah kunci utamanya,” katanya.

Sebelum ini juga, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, politik sewajarnya menjadi wadah kepada penyatuan, namun disebabkan perbezaan pegangan politik, ia kadangkala menjadi punca kepada perpecahan.

“Kepentingan peribadi dan pegangan politik yang akhirnya menerbitkan bibit-bibit permusuhan boleh membawa kepada perpecahan dalam kalangan keluarga Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu adalah suatu cabaran besar yang perlu dihadapi bukan saja dalam kalangan pemimpin, tetapi juga Keluarga Malaysia bagi memastikan kestabilan negara terus terjamin.

“Sekiranya negara berada dalam keadaan tidak stabil, maka akan muncul pihak-pihak luar mahupun dari dalaman yang akan mengambil kesempatan, dengan niat untuk terus menggugat perpaduan yang telah sedia terjalin selama ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri mahu setiap Keluarga Malaysia sentiasa hormat menghormati dan mengawal diri daripada membangkitkan persoalan-persoalan sensitif terhadap sesuatu kaum.

Masa depan

Jangkaan pada masa hadapan sudah tentu tidak dapat kita ramal kerana semua itu terletak pada kekuasaan Tuhan.

Kita mestilah menyediakan payung sebelum hujan untuk berhadapan dengan masa hadapan yang penuh cabaran di luar jangkauan kita, supaya bersedia jika ditimpa malang yang tidak diduga.

Penulis berharap elemen bertolak ansur sepatutnya perlu terus dipraktikkan supaya impian untuk mempunyai masa depan yang gemilang dan terbilang dapat dibina.

Semangat perpaduan dan sikap saling hormat-menghormati di negara kita perlu dipertahankan oleh semua rakyat demi negara yang tercinta di bawah semangat Keluarga Malaysia.

* Ahmad Ismadi Ismail ialah wartawan Sinar Harian Meja Jenayah