Noreh pun tak leh boh...

Penoreh getah terpaksa tanggung kerugian susu getah kurang pada musim kemarau.
Penoreh getah terpaksa tanggung kerugian susu getah kurang pada musim kemarau.
A
A
A

TANAH MERAH - Penoreh getah di daerah ini terpaksa menanggung kerugian ekoran musim kemarau yang menyebabkan susu getah berkurangan.

Mohd Nasir Mat Nor, 50, berkata, pendapatanya turut terjejas ekoran susu getah tidak banyak dan hanya memperolehi setengah mangkuk susu yang ditadah.

"Sebelum ini pada kebiasaanya dalam seminggu, dia akan memperolehi RM200 namun kini untuk memperolehi RM100 pun belum tentu.

"Ekoran musim kemarau ini, ada di antara penoreh sanggup tidak menoreh dan melakukan pekerjaan lain sama ada mengambil upah membersihkan kawasan hutan dan pekerjaan lain," katanya.

Nasir menambah, faktor kekurangan susu getah juga disebabkan musim ini pokok getah akan mula berbunga dan mengeluarkan pucuk dan ia juga menyebabkan kekurangan susu getah.

"Ada juga kebun getah yang ditutup sementara memandangkan jika menoreh ia akan hanya mengundang pekerjaan sia-sia kerana ia merosakkan pokok getah berkenaan ekoran tiada penghasilan susu.

"Maka jika ditoreh hanya menyebabkan pokok getah akan rosak, maka ada di antara penoreh sanggup melakukan pekerjaan lain buat masa ini sehingga tiba masa sesuai untuk menoreh," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Badan Bertindak Pekebun Kecil dan Penoreh Getah Tanah Merah (PEGETAH), Izani Zakari berkata, pada musim panas kebanyakan daun getah gugur dan ia akan menjejaskan perdapatan para pekebun kecil getah.

Artikel Berkaitan:

"Apabila musim kemarau, daun getah akan gugur dan susu akan berkurangan.

"Sebelum ini harga getah di pasaran sekitar RM2.80 sekilogram namun kini harga getah RM2.70 sekilogram dan ini disebabkan getah skrap lembik pada musim panas.

"Susu getah berkurangan lebih kurang satu kilogram hingga tiga kilogram sehari dan ia membebankan penoreh yang rata-ratanya sepenuh masa menoreh," katanya.

Beliau berkata, setakat ini hampir 1,000 penoreh dikesan di daerah ini yang terpaksa menanggung masalah ini," katanya.