Harimau Muda perlukan tiga perlawanan

Brad Maloney
Brad Maloney
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia menyasarkan untuk beraksi sekurang-kurangnya tiga perlawanan persahabatan antarabangsa sebelum menghadapi saingan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN 2022 (AFF) Bawah-23 Tahun (B-23) di Kemboja, Februari depan.

Ketua jurulatih skuad B-23 negara, Brad Maloney yang dilaporkan kontraknya bersama pasukan kebangsaan dilanjutkan selama dua tahun baru-baru ini turut berharap pasukannya dapat dibentuk segera bulan depan.

“Saya ingin membentuk pasukan pada Januari dan mengatur tiga hingga empat perlawanan persahabatan antarabangsa sebagai persediaan menghadapi kejohanan itu bagi memberi kami setiap peluang untuk layak ke separuh akhir dan akhir,” katanya menerusi mesej audio kepada media tempatan pada Rabu.

Pada kempen kejuaraan AFF B-23 yang dijadual bermula 14 hingga 26 Feb depan di Stadium Morodok Techno dan Stadium Prince, skuad Harimau Muda telah diundi dalam Kumpulan B bersama juara bertahan Indonesia, Myanmar dan Laos.

Naib juara edisi lepas, Thailand diundi bersama Vietnam dan Singapura dalam Kumpulan C manakala tuan rumah dalam Kumpulan A bersama Timor Leste, Filipina dan Brunei, dengan hanya juara kumpulan dan naib juara kumpulan terbaik mara ke separuh akhir.

Mengulas lanjut, Maloney menjangkakan pasukannya akan berdepan tugas sukar memandangkan ketiga-tiga pasukan lawan masing-masing telah mengharungi perlawanan sengit menentang pasukannya pada pertemuan terakhir mereka.

“Tiada perlawanan merupakan perlawanan mudah, tiada lawan mudah dikalahkan...sesiapa sahaja boleh mengalahkan orang lain namun saya harap kami dapat membentuk pasukan lebih awal dan membuat persiapan mantap untuk kejohanan ini untuk memberi kami peluang terbaik mengungguli kumpulan,” katanya.

Jurulatih kelahiran Australia berusia 49 tahun itu memiliki rekod baik bersama skuad B-23 negara selepas membimbing pasukan itu layak ke Piala Asia 2022 yang akan berlangsung di Uzbekistan, Jun depan.

Artikel Berkaitan:

Malaysia menempah tempat ke pusingan akhir selepas muncul juara Kumpulan J dengan kemenangan 1-0 ke atas Laos dan tuan rumah sebelum menamatkan saingan kelayakan yang berlangsung di Ulaanbaatar, Mongolia, Oktober lepas, menentang Thailand.

Kejayaan itu hadir walaupun skuad Maloney tidak beraksi dalam sebarang perlawanan antarabangsa, sebaliknya menerusi perlawanan latihan menentang tiga pasukan Liga Malaysia. - Bernama