21 nelayan Vietnam ditahan

Sebahagian 21 nelayan Vietnam yang ditangkap ketika menangkap ikan tanpa lesen di perairan Pekan.
A
A

KUANTAN - Jabatan Perikanan Pahang menahan 21 nelayan warga asing yang menjalankan aktiviti penangkapan ikan tanpa lesen di perairan Pekan dengan nilai rampasan dianggarkan lebih RM3 juta, kelmarin.

Pengarahnya, Azahari Othman berkata, kesemua nelayan asing itu yang ditahan berusia antara 18 hingga 60 tahun, selepas hampir satu kilometer mengejar sebaik sahaja mereka bertindak melarikan diri.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati lebih dua tan hasil tangkapan yang dipercayai ditangkap dalam masa tiga hingga empat hari di kawasan perairan tersebut.

“Kita dapati pelbagai jenis ikan yang telah disimpan seperti kerapu, bawal, kaci dan ikan merah termasuk sotong serta ikan baja yang dipercayai ditangkap dalam masa tiga hingga empat hari.

“Anggaran nilai rampasan termasuk dua bot laut dalam, hasil tangkapan dan peralatan menangkap ikan bernilai lebih RM3 juta," katanya selepas meninjau bot nelayan Vietnam di Jeti Jabatan Perikanan Pahang Padang Lalang, hari ini.

Beliau menjelaskan, bot itu dipercayai sudah biasa berada di perairan Pekan bagi tujuan penangkapan ikan berdasarkan rekod perjalanan menerusi alat Sistem Pengesan Kedudukan Global (GPS).

Jelasnya, mereka ini datang dari Vietnam dan menggunakan GPS untuk terus ke perairan Pekan bagi tujuan penangkapan ikan di perairan negeri.

Dalam pada itu, Azahari berkata, kesemua yang ditahan iaitu seorang tekong bersama 20 nelayan kini direman sebelum didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 menangkap ikan di perairan negara.

Beliau berkata, jika disabitkan dengan kesalahan boleh didenda RM100,000 setiap nelayan atau awak-awak dan RM1 juta bagi seorang tekong, bot serta peralatan menangkap ikan dirampas.

Azahari (kanan) melihat hasil tangkapan bot nelayan Vietnam yang ditangkap ketika menangkap ikan tanpa lesen di perairan Pekan kini ditempatkan di jeti Padang Lalang.
Azahari (kanan) melihat hasil tangkapan bot nelayan Vietnam yang ditangkap ketika menangkap ikan tanpa lesen di perairan Pekan kini ditempatkan di jeti Padang Lalang.

Sebelum itu, Azahari berkata, pihaknya menerima aduan dari nelayan tempat berhubung perkara terbabit.

Jelasnya, dua bot laju dari Bahagian Perlindungan Sumber Jabatan Perikanan Pahang bersama sepuluh anggota telah diarahkan untuk melakukan serbuan di kawasan 60 batu nautika dari Kuala Tembeling, di sini.

“Pihak kita telah memintas dua bot warga asing berkenaan dan mereka juga bertindak nekad untuk melarikan diri dengan memotong pukat tunda digunakan ketika dikejar.

“Bagaimanapun mereka gagal berbuat demikian disebabkan ketangkasan anggota kita,” katanya.

Katanya, tangkapan bot pukat tunda asing tanpa lesen kelmarin adalah kejayaan pertama pihaknya tahun ini.

“Kita akan terus usaha menyekat dan menahan bot nelayan asing yang menceroboh perairan negara akan diteruskan dengan sokongan pelbagai pihak.

“Kita memandang serius pencerobohan nelayan asing yang menangkap ikan menggunakan pukat tunda secara ganding dua bot, selain mengancam sumber perikanan negara aktiviti berkenaan juga memusnahkan terumbu karang dan mengancam keselamatan nelayan tempatan,” katanya.

Beliau bagaimanapun meminta agar nelayan tempatan memberi maklumat mengenai kehadiran bot nelayan asing.

“Ini akan memberi lebih peluang kepada jabatan menangkap dan mengheret mereka ke mahkamah,” katanya.