Masih ada cubaan pujuk ADUN BN singkir MB Perak, dedah Saarani

Saarani ketika sidang media menjelaskan mengenai kepincangan di dalam kerajaan negeri Perak.
Saarani ketika sidang media menjelaskan mengenai kepincangan di dalam kerajaan negeri Perak.
A
A
A

IPOH - BN Perak mendedahkan usaha memujuk wakil rakyat mereka bagi menggulingkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu masih diteruskan.

Pengerusinya, Datuk Saarani Mohamad berkata, jika sebelum ini terdapat lapan ADUN BN yang dipujuk tetapi kali ini terdapat beberapa ADUN BN lain yang turut ditemui oleh seorang Exco kerajaan negeri.

Beliau berkata, dalam pertemuan dengan ADUN-ADUN BN itu, Exco kerajaan negeri berkenaan mendakwa kononnya sudah mendapat restu daripada pimpinan pusat seperti Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menggantikan Ahmad Faizal.

"Saya yakin kerajaan tidak stabil sekarang kerana ada dalam kalangan Exco kerajaan negeri yang masih terus melobi untuk menjadi menteri besar dan berurusan dengan ADUN-ADUN UMNO.

"Pujuk memujuk masih berlaku dan ada lagi wakil rakyat lain yang ditemui exco berkenaan," katanya dalam sidang media di Bangunan UMNO Perak, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN

Adun BN dipujuk singkir MB Perak

Guling MB Perak: 'Itu kerja PH, Bukan BN'

Artikel Berkaitan:

Saarani berkata, sebagai ketua pembangkang dan Pengerusi UMNO Negeri, beliau mengetahui apa yang sedang berlaku di dalam pentadbiran kerajaan.

Katanya, kesemua ADUN BN setia bersama-sama di blok pembangkang dan tidak akan termakan dengan pujukan individu tersebut.

Beliau berkata, ADUN-ADUN BN ini menyedari tindakan menyokong usaha individu itu tidak memberi manfaat apa-apa kepada rakyat dan negeri.

"Saya yakin dengan kesetiaan ditujukkan oleh 25 ADUN BN ini dan tiga ADUN Pas. Rakan-rakan saya yang ditemui telah dipujuk mereka pun berjanji akan kekal dengan UMNO.

"Sebagai Pengerusi PH Perak, saya nasihatkan kepada menteri besar betulkan diri sendiri, betulkan kawan-kawan you dan semak betul-betul ada tak seorang Exco kerajaan negeri sedang berusaha keras mengambil alih jawatan menteri besar," katanya.

Saarani berkata, isu kepincangan kerajaan negeri Perak bukan ditimbulkan oleh pembangkang sebaliknya ia berpunca daripada pemimpin PH sendiri.

Sebelum ini, Saarani pernah mendedahkan bahawa terdapat Exco kerajaan negeri mengadakan pertemuan dengan ADUN-ADUN BN bagi memujuk mereka menyokong usul undi tidak percaya ke atas Ahmad Faizal.

Rentetan daripada isu itu, enam ADUN BN yang ditemui individu berkenaan bertindak memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).