PJS: PSM segerakan AGM pilih kepimpinan baharu

 Ibrahim Mohd Yusof, Laporan Sukan Sinar Harian pada Isnin
Ibrahim Mohd Yusof, Laporan Sukan Sinar Harian pada Isnin
A
A
A

PERSEKUTUAN Sepaktakraw Malaysia (PSM) masih mempunyai hak untuk menganjurkan Liga Sepak Takraw (STL) bulan depan walaupun badan induk itu bukan lagi ahli gabungan Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF).

Namun di sebalik kemelut berpanjangan antara PSM dan ASTAF itu, Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd Yusof turut menggesa supaya badan induk itu menyegerakan mesyuarat agung tahun (AGM) bagi memilih barisan kepimpinan baharu persatuan tersebut.

Malah menurut Ibrahim, AGM ini penting bagi membolehkan PSM menamatkan kemelut yang berlaku dan seterusnya menghantar permohonan bagi menganggotai semula badan induk sepak takraw Asia tersebut sekali gus menggerakkan program pembangunan sepak takraw di peringkat akar umbi seperti sebelum ini.

“Ya, adalah tidak menjadi satu kesalahan untuk PSM menganjurkan sebarang kejohanan dalam negara seperti saingan STL.

“Biarpun begitu ASTAF masih mempunyai hak ke atas pengadil atau pemain yang telah dilesenkan oleh badan induk sepak takraw Asia tersebut untuk tidak menyertai sebarang kejuaraan terutamanya kejohanan antarabangsa di bawah seliaan ASTAF atau ISTAF (Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa).

“Jadi saya berharap PSM akan dapat menyegerakan AGM bagi pemilihan kepimpinan baharu yang dipersetujui semasa proses remedi antara PSM-G11 dan PJS sebelum ini, AGM ini penting bagi memenuhi salah satu kretiria yang ditetapkan oleh ASTAF dan dapat meningkatkan keyakinan komuniti sepak takraw terhadap PSM.” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

ASTAF pada Isnin memberi peringatan kepada PSM untuk sekali lagi menyelesaikan isu penggantungannya terlebih dahulu sebelum menganjurkan sebarang kejohanan di peringkat dalaman termasuk STL.

Menurut Presiden ASTAF, Datuk Abdul Halim Kader, PSM harus akur dengan hukuman penggantungan yang dikenakan terhadap badan induk itu sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

“Semua presiden persatuan sepak takraw negeri di Malaysia perlu faham undang-undang dan peraturan antarabangsa selain kenapa ASTAF dan saya begitu tegas sekali dalam isu penganjuran STL.

“Ingin saya mengingatkan mereka supaya jangan terlalu emosi selain berani melakukan provokasi dan menentang ASTAF kerana ia adalah perkara yang tidak wajar dilakukan.

“Namun, saya tidak salahkan mereka kerana bukan semua presiden yang faham dengan undang-undang ASTAF atau Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF),” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.