Tiga negeri catat penurunan jumlah mangsa banjir, dua negeri kekal

Keadaan rumah penduduk di Kampung Tersang, Rantau Panjang di sini yang masih digenangi air banjir ketika tinjauan pada Selasa. Foto Bernama
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan telah membina tiga pam air di dua buah kampung di kawasan Rantau Panjang bagi mengalirkan air banjir termenung ke Sungai Golok.
-- fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA
Keadaan rumah penduduk di Kampung Tersang, Rantau Panjang di sini yang masih digenangi air banjir ketika tinjauan pada Selasa. Foto Bernama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan telah membina tiga pam air di dua buah kampung di kawasan Rantau Panjang bagi mengalirkan air banjir termenung ke Sungai Golok. -- fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiga negeri iaitu Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan mencatatkan penurunan mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) tengah hari Rabu, manakala Melaka dan Kelantan, jumlah mangsa banjir tidak berubah yang semuanya membabitkan lebih 9,000 individu.

Sementara itu di SABAH, hujan lebat berterusan sejak lewat malam Selasa mengakibatkan kejadian banjir kilat di beberapa kawasan di Sipitang pada pagi Rabu.

Di SELANGOR, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menerusi ciapan di Twitter rasminya memaklumkan setakat 8 pagi Rabu, seramai 2,218 mangsa banjir masih ditempatkan di 17 PPS di negeri ini, menurun berbanding malam Selasa iaitu seramai 2,387 mangsa yang ditempatkan di 19 PPS.

Polis Selangor pula memaklumkan, sebanyak enam jalan ditutup untuk laluan kenderaan ekoran dinaiki air melibatkan jalan di Jambatan FT 31 Dengkil - Banting; Jalan Kg Kalong Tengah; Ulu Yam Baru dan Jalan Genting Peras – Kuala Klawang.

Selain itu, Jalan Kuala Kubu Bharu - Bukit Fraser menghala ke Peretak dibuka untuk kenderaan ringan sahaja manakala Jalan PJU 7, di hadapan MRT, Mutiara Damansara berlubang akibat banjir dan jambatan jalan menghala ke Lapang Sasar, Subang rosak akibat banjir.

Di PAHANG, kemas kini di aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada tengah hari Rabu melaporkan seramai 7,201 orang mangsa banjir masih berada di 60 PPS berbanding 7,730 orang di 71 PPS pada pagi Rabu dengan Temerloh merekodkan jumlah mangsa paling ramai diikuti Pekan, Bentong, Maran, Kuantan dan Bera.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang pula melaporkan 10 jalan masih ditutup di beberapa lokasi antaranya Jalan Kuantan-Segamat di Pekan, Jalan Kuala Lipis-Jerantut (Jerantut), Jalan Bentong-Gua Musang (Lipis), Jalan Sungai Lembing (Kuantan) dan Jalan Temerloh-Jerantut (Temerloh).

Di NEGERI SEMBILAN data terkini di aplikasi Info Bencana JKM menunjukkan jumlah mangsa banjir yang berlindung di dua PPS adalah sebanyak 36 orang dari 12 keluarga menurun berbanding 43 individu daripada 14 keluarga pada pagi Rabu.

Artikel Berkaitan:

Di KELANTAN jumlah mangsa banjir kekal seramai 54 orang daripada 15 keluarga melibatkan satu PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh di Pasir Mas, setakat 12 tengah hari Rabu.

Sementara itu, portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui https://publicinfobanjir.water.gov.my, melaporkan tiada sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya.

Jumlah mangsa banjir turut kekal di MELAKA dengan 26 orang daripada lapan keluarga setakat 12 tengah hari Rabu.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, hanya PPS Sekolah Kebangsaan Penghulu Benteng di Jasin dibuka bagi menempatkan semua mangsa.

Di SABAH, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Misran Bisara berkata 11 orang dari satu keluarga di Kampung Pantai, Sindumun di Sipitang, diselamatkan selepas terperangkap di rumah mereka dalam kejadian banjir itu.

“JBPM Sabah menerima panggilan pada 5.55 pagi Rabu sebelum menghantar pasukan penyelamat ke kawasan terlibat. Banjir kilat dilihat mula surut dan cuaca baik pagi ini diharap berterusan sehingga ke malam ini bagi membolehkan banjir ini surut sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Rabu.

Sementara itu, Jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Sabah berkata, tiada mangsa banjir ditempatkan di PPS setakat ini dan pihaknya juga bersedia dengan sebarang kemungkinan.

Dalam pada itu, seorang penduduk, Sahani Yassin, 55, berkata, hujan lebat mengakibatkan arus deras di Sungai Muaya Sipitang dan sebuah jambatan simen telah dihanyutkan arus deras pada pagi Rabu.

“Saya telah menghubungi pihak terlibat. Setakat ini banjir ini masih terkawal tetapi penduduk kampung dinasihati supaya sentiasa berjaga-jaga,” kata peniaga itu. - Bernama