FGV Holdings Berhad sumbang RM250,000

Mohd Nazrul Izam (kiri) menyerahkan replika cek kepada Wan Rosdy (kanan) sambil diperhatikan oleh Idris (tengah) di pekarangan Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh pada Rabu.
Mohd Nazrul Izam (kiri) menyerahkan replika cek kepada Wan Rosdy (kanan) sambil diperhatikan oleh Idris (tengah) di pekarangan Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh pada Rabu.
A
A
A

TEMERLOH - Nasib mangsa banjir di negeri ini turut mendapat perhatian Felda Global Venture (FGV) Holdings Berhad apabila menyumbang sebanyak RM250,000 kepada Tabung Bencana Banjir Pahang 2021.

Wang berkenaan diserahkan Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam satu majlis di pekarangan Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh di sini pada Rabu.

Idris berkata, sumbangan itu bagi membantu kerajaan negeri Pahang dalam usaha gerak kerja menyelamat mangsa banjir serta inisiatif pasca banjir di negeri ini.

Beliau berkata, sumbangan tersebut juga cerminan bantuan dan sokongan padu kerajaan negeri terhadap Felda dan FGV dalam membolehkan operasi tanah rancangan serta ladang berjalan lancar di negeri ini.

"Oleh itu, ketika waktu yang sukar ini, pastinya kita tidak akan ketinggalan menghulurkan bantuan.

"Semoga dengan sedikit sumbangan ini akan dapat membantu kerajaan negeri dalam mendepani bencana banjir bagi kemaslahatan rakyat negeri Pahang yang sebahagian besarnya juga merupakan warga Felda," katanya pada majlis tersebut.

Turut serta ialah Exco Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Pahang, Datuk Nazri Ngah dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan FGV, Mohd Nazrul Izam Mansur.

Sementara itu, Idris berkata, seramai 471 warga Felda dari empat Wilayah iaitu Raja Alias, Jengka, Gua Musang dan Mempaga terlibat dengan bencana banjir termasuk 22 kakitangan Felda.

Artikel Berkaitan:

"Nasib kakitangan Felda yang terkesan akibat banjir juga mendapat perhatian. Selain membersihkan rumah, kita juga menyumbang barangan keperluan serta wang tunai sebanyak RM2,500," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Nazrul Izam berkata, sumbangan FGV merupakan tanggungjawab korporat yang wajar dilaksanakan ketika rakyat memerlukan.

"Pahang merupakan negeri terbesar di mana ladang, kilang dan perniagaan hiliran kami beroperasi.

"Selain daripada membayar zakat perniagaan, kita berharap sumbangan ini dapat meringankan beban dihadapi mangsa-mangsa banjir di negeri ini,” ujarnya.