Sila log masuk terlebih dahulu.

Bentuk kabinet: Beri masa kepada Abang Jo, elak lobi jawatan

 Abdul Karim - Foto Bernama
Abdul Karim - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gabungan Parti Sarawak (GPS) diingatkan memberi ruang serta masa kepada Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk memilih senarai ahli kabinet negeri.

Jelas Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang juga ADUN Asajaya, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, semua pemimpin juga tidak seharusnya melobi untuk dicalonkan dalam barisan kabinet kerana pemilihan itu adalah kuasa prerogatif Abang Johari.

Karim juga menjelaskan, beliau tidak mempunyai masalah sekiranya tidak dicalonkan menerajui mana-mana kementerian dalam kabinet negeri kali ini.

“Walaupun saya tidak ditempatkan dimana-mana Kementerian sekalipun dan hanya menjadi Ahli biasa Dewan Undangan Negeri tidak ada masalah pada saya.

“Kita harus beri masa pada Yang Amat Berhomat Ketua Menteri untuk membuat sebarang keputusan dan kalau boleh elakkan dari melobi,” katanya ketika ditanya pemberita mengenai senarai kabinet negeri selepas Majlis Malam Penghargaan Kementerian Belia dan Sukan 2021 di Hotel Pullman pada Selasa malam.

Abang Johari dilantik menjadi Ketua Menteri Sarawak pada 18 Disember 2021 selepas GPS menang besar 76 kerusi pada Pilihan Raya Negeri ke-12 yang lalu.

Setelah berjaya mengekalkan kuasa untuk mentadbir semula Kerajaan Negeri Sarawak Abang Johari akan mengumumkan barisan calon kabinet dalam masa terdekat.

Barisan kabinet negeri Sarawak ini mendapat perhatian sama ada Abang Johari akan melantik wakil rakyat Cina menjawat jawatan Timbalan Ketua Menteri.

Artikel Berkaitan:

Ini kerana parti komponen dalam GPS iaitu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) melakukan yang terbaik termasuk menang 13 kerusi daripada 18 yang dipertandingkan sekali gus merampas semula lima kerusi komuniti Cina dari DAP.

Penggal lalu, Abdul Karim menyandang jawatan sebagai Menteri Pelancongan Kesenian dan Kebudayaan Sarawak. - Awani