Kerajaan PH tak pinggir hak rakyat Kelantan

Sungai Palekbang ini suatu ketika dulu pernah menjadi tempat kapal berlabuh. - Gambar kecil: Wan Mohd Johari
Sungai Palekbang ini suatu ketika dulu pernah menjadi tempat kapal berlabuh. - Gambar kecil: Wan Mohd Johari
A
A
A

TUMPAT - Isu Jambatan Palekbang- Kampung Cina yang dicanangkan selama 23 tahun ini akhirnya bakal direalisasikan apabila jambatan itu akan dibina tidak lama lagi.

Pengumuman pembinaannya oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, baru-baru ini membuktikan kerajaan PH tidak meminggirkan hak rakyat Kelantan dan pembangunan di negeri ini.

Pengerusi PH Parlimen Tumpat, Wan Mohd Johari Wan Omar berkata, akhirnya pembinaan jambatan tersebut yang dinanti-nantikan warga Tumpat menjadi kenyataan.

Menurutnya, walaupun ia baru diumumkan, namun beliau yakin di bawah kerajaan baru, itu bukan janji kosong atau pun ‘gula-gula’ politik untuk rakyat Kelantan.

“Malah pembinaan jambatan Palekbang itu antara manifesto saya sebagai calon PH di DUN Pasir Pekan semasa PRU 14 tahun lepas.

“Saya tidak menjanjikan PH akan bina jambatan tersebut ketika kempen PRU lalu tetapi saya berjanji mahu perjuangkan hak rakyat Tumpat agar pembinaan jambatan itu direalisasikan,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Amanah Tumpat berkata, walau pun PH kalah di DUN Pasir Pekan dan Kelantan diperintah kerajaan Pas, tetapi ia tetap akan dibina.

Katanya,ini menunjukkan kerajaan PH ikhlas membantu membangunkan Kelantan kerana impaknya besar jika jambatan itu siap nanti.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan Pas yang berjanji mahu bina jambatan tersebut tetapi kesudahannya kerajaan PH yang akan membinanya.

“Walau pun kerajaan BN sebelum ini turut tertarik untuk membina jambatan Palekbang tetapi ia bersyarat, jika BN menang di Kelantan pada PRU13 tetapi akhirnya tidak dapat direalisasikan kerana Pas masih memerintah di Kelantan dan kerajaan BN itu sendiri sudah terkubur,” katanya.

Menurutnya, beliau berterima kasih kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali apabila pembinaan jambatan Palekbang antara lima projek besar yang akan dibangunkan di Kelantan.

“Bukan sahaja dapat menyuraikan kesesakan lalu lintas tetapi dapat membangunkan sosial ekonomi kampung Palekbang dan kampung sekitar.

“Mungkin ia akan menjadi bandar kedua di sini selepas Wakaf Bharu dan mengembalikan kegemilangan kampung Palekbang yang pernah termasyhur sebagai bandar pelabuhan suatu ketika dulu,” katanya.