Banjir: Landskap politik negara perlu diubah

Wacana Sinar edisi ke-314 bertajuk Sampai Bila #Rakyat Jaga Rakyat yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Selasa.
Wacana Sinar edisi ke-314 bertajuk Sampai Bila #Rakyat Jaga Rakyat yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Landskap politik tidak kira kerajaan dan pembangkang di negara ini perlu diubah bagi memastikan masalah bencana seperti banjir dapat diuruskan dengan baik dan cepat.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) McPlus Education Sdn Bhd yang dikenali sebagai Sir Shakib berkata, ini kerana terdapat beberapa kawasan yang menghalang daripada sukarelawan untuk menyampaikan sumbangan mereka kepada penduduk.

“Landskap politik harus berubah. Semua ahli politik kena ubah minda masing-masing. Tidak kira jawatan tinggi sehingga ketua kampung. Jangan halang dan sekat barangan yang sukarelawan mahu sumbangkan.

“Mereka arah dan minta hantar kepada pusat mereka. Kita tidak mahu barangan tersebut tertanam dekat situ. Kita mahu bantuan diberikan cepat. Orang tengah lapar, tiada air untuk minum. Tiada masa untuk dilewatkan.

“Jadi, apabila macam ini, mungkin ada cubaan untuk ambil bantuan dan dikelaskan serta mungkin dilekatkan pelekat dan sebagainya. Saya amat tidak bersetuju dengan perkara ini. Kita betul-betul tegas dan hantar kepada orang kampung,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Wacana Sinar edisi ke-314 yang bertajuk Sampai Bila #Rakyat Jaga Rakyat yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Selasa.

Turut menjadi panelis, pelakon, penyampai radio dan sukarelawan, Sharifah Shahirah dan Presiden Gurdwara Sahib Petaling Jaya, Awtar Sigh Terry, manakala Ismail Adnan sebagai moderator.

Mengulas lanjut, Sir Shakib berkata, McPlus tidak akan berhenti untuk memberikan sumbangan secara barangan dan tenaga kerja bagi memastikan mereka yang terjejas mendapat bantuan yang secukupnya.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, McPlus menyediakan sukarelawan yang akan memberikan perkhidmatan e-hailing untuk membantu penduduk yang terjejas membeli barangan yang diinginkan.

Selain itu, ujarnya, pusat tuisyen tersebut juga menyediakan pakaian seragam sekolah kepada penduduk terjejas banjir di Hulu Langat dan Sri Muda.

“Kami akan beri baju sekolah dua helai, seluar atau kain sehelai, tudung dua helai, kasut sepasang dan stokin dua pasang serta alat tulis. Sebab apa? Sekurang-kurangnya mereka ada suntikan semangat. Tidak perlu fikir untuk beli barangan sekolah anak,” ujarnya.