Tambahan RM45j untuk program i-Suri tahun ini: TPM

 Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika sidang media pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika sidang media pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan telah memperuntukkan tambahan RM45 juta kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk melaksanakan Skim Caruman Insentif Suri (i-Suri) pada tahun ini, demikian persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata susulan itu, kementerian tersebut menyasarkan 100,000 wanita termasuk mereka yang berada dalam senarai e-Kasih mendaftar i-Suri menjelang 30 Jun ini.

Sejak diperkenalkan pada 15 Ogos hingga 28 Februari lalu, seramai 84,143 wanita telah berdaftar dengan i-Suri, kata Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat semasa menjawab soalan Kesavan Subramaniam (PH-Sungai Siput) di sini.

Bagaimanapun menurut Dr Wan Azizah, terdapat beberapa kekangan dalam melaksanakan program outreach kepada yang layak khususnya mereka yang tinggal di kawasan terpencil selain kesukaran anggota membuat caruman kerana peraturan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak membenarkan caruman dalam bentuk tunai.

Sehubungan itu katanya, KWSP bersama-sama rakan strategik menggerakkan pasukan mudah gerak ke kawasan terpencil serta mempelbagaikan saluran pembayaran sebagai alternatif selain berbincang dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk membolehkan caruman menerusi ejen BSN serta melalui sistem pesanan ringkas.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) yang ingin tahu mekanisme tuntutan pampasan Pertubuhan Keselamatan Sosial oleh anggota i-Suri, Dr Wan Azizah berkata undang-undang mengenainya akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara bulan ini dan dijangka dibentangkan di Parlimen pada sesi akan datang.

Penguatkuasaan undang-undang ini akan melibatkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM180 juta, katanya.- Bernama

Artikel Berkaitan: