Banduan warga emas dipenjara 26 bulan lagi

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang banduan warga emas bakal merengkok lebih lama di penjara selepas dia dijatuhi hukuman penjara 26 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dua pertuduhan menggunakan wang hasil daripada aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM285,000, empat tahun lepas.

Hakim Yang Zaimey Yang Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 20 dan 26 bulan terhadap tertuduh Shee Fook, 71, yang mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut serta memerintahkannya berjalan serentak berkuatkuasa selepas tertuduh selesai menjalani hukuman penjara bagi kesalahan sebelum ini.

"Selepas mempertimbangkan rayuan tertuduh dan hujahan pihak pendakwaan, saya memerintahkan hukuman penjara ini dijalankan berasingan dengan hukuman sebelum ini, namun hukuman yang dijatuhkan pada hari ini berjalan serentak," katanya.

Banduan lelaki itu sedang menjalani hukuman penjara lima tahun sehingga Mei 2021 di Penjara Kajang atas kesalahan di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 424 Kanun Keseksaan melibatkan kes di Negeri Sembilan dan Melaka.

Pada prosiding hari ini tertuduh dijatuhi hukuman penjara 20 bulan kerana menggunakan wang berjumlah RM35,000 yang merupakan hasil daripada aktiviti pengubahan wang haram daripada akaun simpanan miliknya, di CIMB Bank Malaysia Bhd cawangan Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan, Serdang dekat sini pada 17 Februari 2015.

Warga emas itu juga dijatuhi hukuman penjara 26 bulan kerana menggunakan wang berjumlah RM250,000 yang merupakan hasil daripada aktiviti pengubahan wang haram daripada akaun simpanan miliknya, di Bank Islam Malaysia Bhd cawangan Sri Petaling, Kuala Lumpur antara 13 Februari 2015 dan 16 Februari 2015.

Dia dihukum mengikut Subseksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut yang mana lebih tinggi.

Terdahulu, Shee yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara ringan dan berjalan serentak dengan hukuman penjara yang sedang dijalaninya bagi kes lain, atas alasan dia menghidap penyakit kencing manis selain telah menyesali perbuatannya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Syafinas Shabudin yang mengendalikan pendakwaan membantah rayuan tertuduh berikutan kesalahan yang dilakukannya itu berbeza, di mana tertuduh telah melakukan kesalahan pengubahan wang haram melibatkan pelaburan yang tidak wujud.- Bernama