Jumlah mangsa banjir di empat negeri terus menurun

Seramai 284 penduduk kawasan Jalan Pelimbayan Indah terjejas akibat kejadian tanah runtuh yang membabitkan 94 rumah dan 24 rumah daripada jumlah tersebut musnah sepenuhnya. -Foto Bernama
Seramai 284 penduduk kawasan Jalan Pelimbayan Indah terjejas akibat kejadian tanah runtuh yang membabitkan 94 rumah dan 24 rumah daripada jumlah tersebut musnah sepenuhnya. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah mangsa banjir di empat negeri iaitu Pahang, Selangor, Kelantan dan Negeri Sembilan menunjukkan trend penurunan pada sebelah petang manakala di Melaka tiada perubahan.

Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah keseluruhan mangsa banjir di kelima-lima negeri petang Selasa ialah 16,281 orang daripada 5,207 keluarga yang berlindung di 107 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara.

Jumlah itu menurun berbanding 19,099 orang daripada 5,882 keluarga melibatkan 120 PPS tengah hari tadi.

Di PAHANG, sebanyak 10,735 mangsa banjir masih ditempatkan di 76 PPS pada sebelah petang berbanding 11,776 di 83 PPS tengah hari tadi manakala daerah yang masih terjejas ialah Bentong, Temerloh, Bera, Maran, Kuantan dan Pekan.

Pengarah Kesihatan Pahang Datuk Dr Nor Azimi Yunus memaklumkan sebanyak 42 Pasukan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial terdiri daripada doktor, kaunselor dan jururawat ditubuhkan bagi menangani masalah gangguan emosi dalam kalangan mangsa banjir.

Di SELANGOR, jumlah mangsa banjir mencatatkan penurunan kepada 5,399 orang di 27 PPS petang Selasa berbanding 7,503 mangsa di 36 PPS tengah hari tadi.

Portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula melaporkan Sungai Bernam di Rimba KDR, Sabak Bernam yang berada pada tahap waspada tengah hari tadi kini di tahap amaran apabila mencatat ketinggian 2.11 meter setakat jam 5.15 petang.

Di KELANTAN, seramai 68 orang daripada 21 keluarga masih ditempatkan di satu PPS iaitu Sekolah Kebangsaan Tok Deh setakat jam 5 petang berbanding 78 orang daripada 23 keluarga pada waktu tengah hari.

Artikel Berkaitan:

Portal rasmi info banjir JPS pula melaporkan tiada sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya.

Di NEGERI SEMBILAN, seramai 53 orang daripada 17 keluarga masih ditempatkan di dua PPS di Jelebu setakat tengah hari tadi.

Di MELAKA, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, jumlah mangsa banjir masih tidak berubah iaitu 26 orang daripada lapan keluarga setakat jam 4 petang dan kesemuanya ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Penghulu Benteng, Jasin. - Bernama