Bicara kes bunuh Kim Jong-nam ditangguh

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menangguh perbicaraan kes bunuh abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Chol atau Kim Jong-nam berikutan tertuduh wanita warga Vietnam tidak sihat untuk memberikan keterangannya.

Hakim Datuk Azmi Ariffin menangguhkan perbicaraan kepada 1 April selepas peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Doan Thi Huong, 30, memaklumkan bahawa anak guamnya tidak sihat secara fizikal serta mental dan memohon perbicaraan ditangguhkan.

"Anak guam saya tidak dapat tidur selama tiga malam dan hanya tidur sejam sahaja sejak pertuduhan terhadap Siti Aisyah ditarik balik.

"Dia tidak sihat secara fizikal dan mental dan saya mohon bicara ditangguhkan pada hari ini. Anak guam juga perlu dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. Saya pohon belas ihsan dan simpati Yang Arif untuk memberi beliau sedikit ruang," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad tidak membantah permohonan peguam untuk menangguhkan perbicaraan. Hari ini sepatutnya Doan membela diri atas pertuduhan membunuh itu.

Terdahulu, hakim bertanya kepada Doan adakah dia tidak sihat, Doan yang berdiri di kandang saksi dan kelihatan pucat serta tidak bermaya menjawab "berasa tertekan".

"Saya berhasrat untuk meneruskan kes ini, tetapi malangnya berdasarkan pemerhatian saya, melihat keadaannya, dia tidak sihat, mental atau fizikal. Dia mesti diberi peluang untuk mendapatkan rawatan doktor. Kami akan uruskan surat untuk dia mendapatkan rawatan," katanya.

Hisyam juga memohon kepada mahkamah supaya identiti seorang daripada saksi pembelaan tidak didedahkan secara terperinci oleh pihak media.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ini kerana saksi tersebut adalah saksi penting yang mana komunikasi hanya akan dilakukan melalui sidang video dan rakaman.

Hisyam juga memberitahu pihaknya akan mengemukakan representasi kedua kepada Jabatan Peguam Negara untuk menggugurkan pertuduhan ke atas Doan.

Hakim Azmi bersetuju supaya saksi itu memberi keterangan melalui komunikasi sidang video dan bukan melalui rakaman.

Doan dan Siti Aisyah, 26, warga negara Indonesia, didakwa bersama empat lagi yang masih bebas, membunuh Kim Chol, 45, di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) kira-kira jam 9 pagi pada 13 Februari 2017.

Bagaimanapun, Isnin lepas, Siti Aisyah dilepaskan tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan membunuh selepas pihak pendakwaan memaklumkan untuk menarik balik pertuduhan ke atasnya.

Pada 16 Ogos 2018, mahkamah memerintahkan Siti Aisyah dan Doan membela diri atas pertuduhan membunuh Kim Chol.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.- Bernama