Mangsa banjir perlu bantuan kewangan, dapur dan tong gas

Mohd Zaid (kanan) melihat carta perkembangan terkini operasi pasca banjir di di Pusat Kawalan Operasi Banjir di sini pada Selasa.
Mohd Zaid (kanan) melihat carta perkembangan terkini operasi pasca banjir di di Pusat Kawalan Operasi Banjir di sini pada Selasa.
A
A
A

HULU LANGAT - Badan bukan kerajaan (NGO) disaran menghulurkan bantuan kewangan kepada mangsa banjir yang terjejas di Hulu Langat.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, selain bantuan kewangan, mangsa banjir turut memerlukan peralatan dapur dan tong gas.

"Saya difahamkan mangsa banjir telah terima banyak bantuan asas yang lain, mereka kini memerlukan peralatan dapur dan tong gas," katanya ketika sidang akhbar di Pusat Kawalan Operasi Banjir di sini pada Selasa.

Mohd Zaid berkata, pihaknya menjangkakan proses operasi pasca banjir di kawasan ini mengambil masa kira-kira sebulan.

"Saya difahamkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menjangkakan kerja pembersihan di kawasan yang dilanda banjir selesai dalam tempoh dua minggu," katanya.

Beliau berkata, seramai 18 pegawai dan 382 anggota dari Pasukan Gerakan Am, Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Bukit Aman dan Pasukan Polis Marin membantu dalam operasi pasca banjir.

"Selain itu, kita turut menerima bantuan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA, Serdang, Ampang Jaya dan Petaling Jaya," katanya.

Mohd Zaid berkata, setakat ini hanya empat pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih aktif.

Artikel Berkaitan:

"Kita turut meletakkan anggota polis di empat PPS itu sebagai kawalan keselamatan serta mengambil laporan daripada mangsa banjir secara manual.

"Seramai 5,729 mangsa banjir dicatatkan di kawasan ini. Setakat ini, kita telah menerima sebanyak 3,920 laporan daripada mangsa banjir," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menyediakan balai polis bergerak yang ditempatkan di Dewan Sungai Lui di sini.

"Kita juga ada pasukan ronda cegah jenayah untuk mengelak kejadian jenayah seperti pecah rumah, kedai atau curi kenderaan," katanya.

Mohd Zaid berkata, pihaknya turut berhadapan dengan cabaran untuk mengawal aliran trafik yang sesak di kawasan Hulu Langat.

"Ia kerana terlalu banyak NGO yang masuk ke kawasan ini untuk menyalurkan bantuan. Kita tidak menghalang mereka menyalurkannya bantuan," katanya.

Mohd Zaid turut menyarankan orang ramai atau NGO melalui Sungai Lalang, Semenyih untuk masuk ke kawasan Hulu Langat bagi memudahkan mereka memberi bantuan kepada mangsa banjir.