Lotte Chemical bantu tangani pencemaran kimia di Pasir Gudang

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Syarikat bahan kimia Korea Selatan, Lotte Chemical Titan Holding Sdn Bhd menyalurkan bantuan serta kepakaran bagi membantu usaha menangani kejadian pembuangan sisa toksik di Pasir Gudang, Johor.

Presidennya, Lee Dong-woo berkata sekurang-kurangnya 20 kakitangan syarikat itu telah dihantar bagi membantu usaha terbabit.

"Kami amat sedih dengan kejadian pembuangan bahan kimia di Johor dan telah menghantar bantuan ke sekolah serta kediaman di kawasan itu," katanya di luar Forum Perniagaan Malaysia-Korea di sini, hari ini.

Beliau berkata Lotte Chemical Titan yang berpengalaman luas menangani kejadian membabitkan bahan kimia, juga sedia membantu usaha pembersihan selepas jenis bahan kimia terbabit dapat dikenal pasti.

"Pada masa ini, kami telah membantu membersihkan sekolah yang terjejas akibat pencemaran itu. Selain kakitangan, kami turut menghantar kemudahan ambulans dan peralatan ke kawasan terbabit," katanya.

Setakat semalam, sebanyak 111 buah sekolah di Pasir Gudang telah ditutup manakala seramai 506 orang dirawat, termasuk 166 orang dimasukkan ke hospital dengan sembilan daripada mangsa itu ditempatkan dalam Unit Rawatan Rapi.- Bernama

Artikel Berkaitan: