Jemaah pulang umrah digalak buat ujian kendiri sepanjang kuarantin

Rakyat Malaysia yang baharu pulang dari menunaikan umrah di Tanah Suci digalak untuk membuat ujian kendiri Covid-19 sepanjang tempoh menjalani kuarantin. - Foto fail Bernama
Rakyat Malaysia yang baharu pulang dari menunaikan umrah di Tanah Suci digalak untuk membuat ujian kendiri Covid-19 sepanjang tempoh menjalani kuarantin. - Foto fail Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Rakyat Malaysia yang baharu pulang daripada menunaikan umrah di Tanah Suci atau Arab Saudi digalak untuk membuat ujian kendiri Covid-19 setiap hari sepanjang tempoh menjalani kuarantin di rumah.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, langkah itu perlu diambil memandangkan terdapat kes mereka dijangkiti virus pada hari kelima kuarantin, meskipun ujian calitkan sewaktu prapelepasan dan ketibaan didapati negatif.

“Banyak kes yang kita telah terima di mana mereka negatif untuk ujian prapelepasan, negatif ujian semasa ketibaan tetapi positif pada ujian hari kelima.

"Jadi maksudnya mereka dijangkiti tetapi tidak dapat dikesan sewaktu ujian prapelepasan dan ujian semasa ketibaan di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Jadi, sesuatu yang baharu kita belajar mengenai Omicron sekarang ini dan sebab itu sangat penting untuk kita menggalakkan sesiapa yang telah balik dari negara berisiko terutamanya Arab Saudi kerana banyak kes Omicron (daripada umrah) untuk mereka melaksanakan ujian kendiri setiap hari supaya mereka tidak menjangkiti ahli keluarga yang berada di rumah bersama mereka,” katanya dalam satu sidang akhbar khas di kementeriannya di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memaklumkan kepada syarikat pelancongan yang menguruskan umrah agar rakyat Malaysia yang ingin pergi Arab Saudi perlu mendapatkan dos penggalak terlebih dahulu.

Tambahnya, langkah itu diambil sebagai usaha untuk mengekang penularan varian membimbangkan iaitu Omicron yang banyak dilaporkan menular di negara berkenaan.

Sementara itu, ditanya sama ada kerajaan berhasrat untuk menangguhkan dahulu kebenaran menunaikan rumah kepada rakyat di negara ini, Khairy berkata, perkara itu belum diputuskan.

Katanya, penilaian dari masa ke masa akan dibuat dan keputusan mengenai penangguhan kebenaran umrah juga antara dibuat jika penularan Omicron di Arab Saudi kembali ke paras membimbangkan.

Artikel Berkaitan: