Bantu tunda kenderaan mangsa banjir secara percuma

 K Maniam Rajoo, 46, memastikan motosikal yang terjejas dibawa dalam keadaan baik sebelum dihantar ke pusat servis susulan kejadian banjir baru-baru ini.- Foto Bernama
K Maniam Rajoo, 46, memastikan motosikal yang terjejas dibawa dalam keadaan baik sebelum dihantar ke pusat servis susulan kejadian banjir baru-baru ini.- Foto Bernama
A
A
A

DENGKIL- Walaupun kesihatan diri kurang memuaskan ekoran kecederaan teruk selepas terlibat dalam kemalangan tiga tahun lepas, situasi itu tidak melunturkan niat murni K Maniam Rajoo, 46, untuk menawarkan perkhidmatan tunda kereta dan motosikal secara percuma kepada mangsa banjir dekat sini.

Beliau berkata, selepas mengalami patah di kedua-dua belah tulang rusuk, leher serta kaki kanan akibat kemalangan itu, pergerakan dan tenaga beliau tidak seperti sebelumnya, namun apabila kudratnya didamba bagi membantu mereka yang benar-benar memerlukan, terutama di saat yang kritikal, beliau tetap bangkit untuk menyahut panggilan.

Katanya, susulan kejadian banjir besar 18 Disember lepas, beliau bersama empat rakannya turut menyumbang tenaga mereka dengan ikhlas, tanpa bayaran, untuk menunda kereta serta motosikal, sebaik sahaja dihubungi beberapa jiran yang meminta mereka menunda kenderaan agar tidak ditenggelami air, atau untuk dihantar ke bengkel.

Kesemua jiran dan rakannya itu tinggal berhampiran kawasan kediamannya di Pangsapuri Jenderam Indah, di sini.

“Mereka tahu saya buat bisnes (perniagaan) perkhidmatan tunda dan saya ada lori kren. Ketika itu (18 Disember) air sudah mulai naik paras pinggang orang dewasa di kawasan kediaman kami,” kata bapa kepada tiga anak itu kepada Bernama ketika ditemui di sini baru-baru ini.

“Saya pun bergegas ke lokasi sekitar pukul 8 malam berdasarkan maklumat dari pemanggil. Kami tunda kereta dahulu ke tempat tinggi,” katanya yang mempunyai tiga lori kren bagi muatan lima tan, 10 tan dan 15 tan.

Menurutnya sehingga kini 20 kereta dan 15 motosikal telah ditunda ke bengkel bagi tujuan pembaikan setelah banjir surut sejak tiga hari lepas.

“Saya harap perkara ini dapat diuar-uarkan sebab ramai tidak tahu saya tawarkan perkhidmatan ikhlas ini secara percuma. Niat saya ikhlas, jadi saya bantu untuk tunda sampai ke bengkel yang mereka tetapkan supaya mereka puas hati dengan perkhidmatan saya dan mempercayai saya,” kata beliau yang berasal dari Changlun, Kedah.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu pemilik bengkel motosikal NPS Motorcycle Workshop, A Devarajoo, 42, berkata beliau mengenakan harga berpatutan kepada pemilik yang menghantar motosikal mereka untuk dibaiki setelah rosak akibat bencana banjir, memandangkan mereka perlu membiayai pelbagai kos kerosakan barangan lain.

Anak jati Selangor itu berkata dengan bantuan dua pekerjanya, beliau sedaya upaya akan menyiapkan kerja-kerja pembaikan motosikal agar dapat dipulangkan kepada pemilik dengan segera, dan biasanya kos yang dikenakan adalah antara RM100 dan RM200 sahaja.

“Biasanya motosikal yang ditenggelami banjir akan rosak pada bahagian ‘palam pencucuh’ dan penapis udara. Selepas baiki, saya akan servis dengan menukar minyak hitam,” katanya yang baharu memulakan operasi bengkel di Kampung Lalang, di sini tiga bulan lepas.

Pemilik bengkel kereta ZAS Auto, Mohd Hamizul Jubri, 46, pula berkata, sehingga kini beliau menerima hampir 10 kereta daripada pemilik di sekitar Dengkil dan Shah Alam yang perlu dibaiki selepas rosak akibat banjir.

Mekanik yang telah membuka bengkel sejak empat tahun lepas itu berkata antara masalah yang dihadapi kereta ditenggelami air adalah masalah elektrik, enjin atau ‘gear box’ dan sistem penghawa dingin dimasuki air.

“Walaupun kerja agak rumit, tapi saya anggap kereta-kereta ini macam kereta saya sendiri. Saya akan buat kerja dengan teliti agar pemilik berpuas hati dan tiada istilah harga tinggi. Saya caj pada harga berpatutan yang penting mereka puas hati dengan hasil kerja saya,” katanya. - Bernama