Sila log masuk terlebih dahulu.

1,251 mangsa banjir Kuala Langat masih di PPS

Ahmad Ridhwan (tengah) bertemu penduduk di daerah Kuala Langat yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.
Ahmad Ridhwan (tengah) bertemu penduduk di daerah Kuala Langat yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.
A
A
A

BANTING - Seramai 1,251 mangsa banjir di daerah Kuala Langat, Selangor masih ditempatkan di lima pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih lagi dibuka setakat jam 8 pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, PPS itu melibatkan Bukit Tadom (683 orang), Sekolah Rendah Agama Bukit Changgang (108 orang) serta Sekolah Kebangsaan Bukit Changgang (51 orang).

Menurutnya, dua lagi PPS adalah Sekolah Kebangsaan Labohan Dagang (175 orang) dan Surau Al Azim Taman Langat Murni (234 orang).

"Keadaan kawasan yang terjejas akibat banjir semakin pulih dan beberapa kawasan sedang dalam proses pembersihan.

"Hari ini, seramai 145 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditugaskan untuk kerja pasca banjir," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata, antara agensi lain yang terlibat dalam misi itu ialah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pejabat Daerah/Tanah Kuala Langat, Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM).

Dalam pada itu, Ahmad Ridhwan turut mengesahkan kematian seorang lelaki warga emas berusia 81 tahun yang lemas dalam kawasan banjir di Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang di sini pada 22 Disember lalu.

Katanya, mayat mangsa ditemui kira-kira jam 11.10 malam di kawasan berkedalaman dua meter.

Artikel Berkaitan:

"Berdasarkan keterangan pekerja mangsa, mangsa yang tinggal di Cheras, Kuala Lumpur datang ke kawasan itu untuk melibat kebun bunganya di RTB Bukit Changgang yang dinaiki air.

"Mangsa telah meletakkan keretanya di tepi jalan dan mengharungi banjir sejauh kira-kira 200 meter sebelum tergelincir di kawasan banjir," katanya.