MAIWP tambah RM35 juta, bantu mangsa banjir

Dr Muhd Daud
Dr Muhd Daud
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM35 juta bagi membantu mangsa banjir menerusi Program Sentuhan MAIWP-Misi Banjir 2.0.

Pengerusinya, Tan Sri Dr Muhd Daud Bakar berkata, sebanyak 11 bentuk bantuan akan disalurkan kepada mangsa banjir termasuk bantuan membina semula rumah dengan peruntukan sebanyak RM3.5 juta serta RM7 juta bagi baik pulih rumah.

Menurut beliau, Program Sentuhan MAIWP-Misi Banjir 2.0 juga akan menyalurkan bantuan sebanyak RM10 juta kepada mangsa banjir di Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Kelantan serta Terengganu.

"Agihan tersebut akan disalurkan seberapa segera kepada pejabat agama negeri masing-masing untuk diagihkan kepada mangsa banjir yang layak.

"Di Wilayah Persekutuan, permohonan tidak dibuka kepada umum sebaliknya bantuan akan disalurkan melalui data serta maklumat yang diperoleh melalui wakil penduduk atau petugas di lapangan. Bantuan akan diberikan mengikut keperluan mangsa," katanya ketika sidang akhbar pada Isnin.

Dr Muhd Daud (duduk, tengah) pada sidang media Bantuan Zakat Khas dan Bantuan Musibah Banjir yang diadakan di Kuala Lumpur pada Isnin.
Dr Muhd Daud (duduk, tengah) pada sidang media Bantuan Zakat Khas dan Bantuan Musibah Banjir yang diadakan di Kuala Lumpur pada Isnin.

Jelasnya, kategori lain yang disenaraikan di bawah program itu termasuklah bantuan perubatan klinik bergerak sebanyak RM3 juta, baik pulih surau dan masjid (RM1 juta), baik pulih maahad tahfiz, sekolah rendah agama dan tahfiz (RM1 juta).

Turut tersenarai, bantuan peralatan sekolah dan Institut Pengajian Tinggi (RM1 juta), moratorium kenderaan (RM3 juta), bantuan tunai sekali kepada mangsa banjir (RM2 juta) serta penyelenggaraan pendawaian elektrik (RM500,000).

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, MAIWP telah menyalurkan bantuan awal sebanyak RM2.25 juta kepada mangsa banjir di Wilayah Persekutuan yang disalurkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) pada 23 Disember hingga 26 Disember lalu.

"Menerusi program ini, mangsa banjir diberikan peralatan kebersihan diri, ubat-ubatan, keperluan mencuci rumah, barangan elektrik dan keperluan asas lain termasuk bantal, selimut, tuala wanita, pelitup muka, telekung serta bantuan kewangan.

"Kemampuan menyediakan peruntukan besar ini berjaya dilaksanakan hasil komitmen pembayar zakat di Wilayah Persekutuan. Hasil daripada zakat anda, dapatlah MAIWP melaksanakan amanah membantu mereka yang memerlukan," katanya.