Kementerian Pendidikan jamin kebebasan pilihan raya kampus

 Dr Maszlee Malik
Dr Maszlee Malik
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan memberi jaminan akan memastikan Pilihan Raya Kampus (PRK) bebas daripada pengaruh parti atau individu berkepentingan.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata bagaimanapun setiap pelajar yang berdaftar dengan mana-mana universiti awam (UA) adalah tertakluk kepada perlembagaan, peraturan dan undang-undang yang sedang berkuat kuasa di sesebuah universiti itu.

"(Penglibatan pelajar dalam politik) sama ada keterlibatan pelajar dan parti politik bergantung pada undang-undang dan perlembagaan universiti itu juga.

"Jikalau kita lihat apa yang berlaku dalam PRK Universiti Malaya beberapa hari lalu, pelajar menunjukkan kematangan mereka kerana bukan semua tertarik dengan parti-parti politik tertentu, dan terdapat ramai pelajar yang memilih untuk bersifat profesional seperti yang berlaku di dunia realiti," katanya menjawab soalan Datuk Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Maszlee berkata PRK UM yang diadakan pada 4 Mac lepas dikendalikan sepenuhnya oleh pelajar tanpa campur tangan pihak pengurusan universiti.

Katanya kali terakhir PRK UM dianjurkan sendiri oleh mahasiswanya ialah 49 tahun lalu. - Bernama

Artikel Berkaitan: