Kementerian Pertahanan beli 55 enjin bot, bersedia gelombang kedua

Kementerian Pertahanan telah membuat pembelian kecemasan sebanyak 55 unit enjin bot bagi menghadapi kemungkinan berlakunya gelombang kedua banjir. - Foto Facebook Hishammuddin Hussein
Kementerian Pertahanan telah membuat pembelian kecemasan sebanyak 55 unit enjin bot bagi menghadapi kemungkinan berlakunya gelombang kedua banjir. - Foto Facebook Hishammuddin Hussein
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan membuat pembelian kecemasan sebanyak 55 unit Outboard Motors (OBM) atau enjin bot bagi kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menghadapi kemungkinan berlakunya gelombang kedua banjir.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kesemua unit enjin bot baharu itu sudah sampai dan akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh ATM untuk meningkatkan keupayaan operasi.

"Ia juga boleh dimanfaatkan untuk memindahkan mangsa banjir serta menghantar makanan dan barang keperluan di kawasan banjir yang masih belum surut," katanya melalui kenyataan di Facebook pada Selasa.

Hishamuddin dalam kenyataan media pada Ahad lalu memaklumkan, Kementerian Kewangan meluluskan pembelian kecemasan itu untuk kegunaan ATM.

"Saya menerima laporan berhubung situasi yang mana bot ATM terpaksa digunakan tanpa henti di kawasan yang terjejas.

"Susulan itu, MINDEF berhubung secara terus dengan Kementerian Kewangan bagi membuat pembelian kecemasan 55 unit mesin bot itu dan alhamdulillah, permohonan ini diluluskan," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Hishamuddin mengesahkan video tular berdurasi 2.51 minit yang memaparkan sebuah trak milik ATM meredah Kawasan banjir.

"Memang itu trak milik ATM. Siang malam redah banjir bawa mangsa yang terjejas, angkut makanan dan barang keperluan.

Artikel Berkaitan:

"Setiap risiko dihadapi dengan berani dan berhati-hati...Ini baru satu kebetulan dirakam orang ramai. Sebenarnya banyak lagi aset ATM melakukan perkara sama di semua kawasan dilanda banjir," katanya.

Hishamuddin turut mengucapkan terima kasih kepada pemilik yang menularkan video itu.

"Doakan dan hargai pengorbanan anggota ATM. Mereka tak minta dihargai tetapi mereka memang layak dihargai," katanya.