Dua penjenayah geng Adik Mat ditembak mati

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat (tiga dari kanan) menunjukkan senjata api yang dirampas daripada kedua-dua suspek ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Selasa.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat (tiga dari kanan) menunjukkan senjata api yang dirampas daripada kedua-dua suspek ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Polis Kelantan menembak mati dua penjenayah termasuk ketua geng samun bersenjata api dan pengedaran dadah dikenali sebagai Adik Mat di tempat persembunyian mereka di sebuah pondok dalam getah kawasan Batu Papan, Gua Musang pada Isnin.

Dalang utama yang berusia 29 tahun dan ahli geng berusia 36 tahun berasal dari Gua Musang itu maut di lokasi serbuan pada jam 11.30 pagi.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, serbuan dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Unit Khas Cawangan Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kelantan dan Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang.

Katanya, turut dirampas, dua pucuk pistol jenis semi automatik jenama LLama dan Revolver.38, 41 butir peluru pelbagai saiz, tujuh kelongsong peluru serta 1,200 pil kuda bernilai RM12,000.

“Menyedari kehadiran pasukan polis di tempat persembunyian mereka, suspek-suspek bertindak melarikan diri dengan salah seorang terjun dari tingkat atas pondok sambil membawa dua beg.

“Semasa polis mengejar mereka secara tiba-tiba suspek-suspek melepaskan beberapa das tembakan ke arah pasukan serbuan. Ketika berbalas tembakan, kedua-dua suspek rebah dan mati di tempat kejadian,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Selasa.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun dan Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo.

Mengulas lanjut, siasatan polis mendapati modus operandi kumpulan penjenayah terbabit menyasarkan mangsa samun terdiri daripada penghutang dadah dan orang awam dengan melakukan ugutan jenayah menggunakan senjata api.

Artikel Berkaitan:

“Mereka menahan mangsa di tepi-tepi jalan dan memeras ugut serta merompak dengan melepaskan tembakan ke udara dalam kejadian jenayah sebelum ini.

“Kumpulan ini dikesan aktif sejak tiga tahun lalu bersama tiga ahlinya yang sudah ditangkap di Bachok sebelum ini dan sebahagian yang masih bebas,” katanya.

Beliau menjelaskan, kejayaan menumpaskan geng penjenayah terbabit berjaya menyelesaikan lapan kes samun bersenjata api membabitkan kerugian yang dianggarkan bernilai RM20,000.

“Semakan rekod terhadap suspek Adik Mat mendapati ada tiga rekod jenayah lampau melibatkan kesalahan samun bersenjata api dan pukul selain sembilan rekod berkaitan dadah.

“Seorang lagi suspek pula memiliki empat rekod jenayah lampau berkaitan dengan kesalahan dadah,” katanya.

Ujar beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8 (A) Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki pistol serta peluru.