#Kempen ‘Belia Benci Rasuah’ perlu digerakkan, pupuk kesedaran

Hasnul Haniff
Hasnul Haniff
A
A
A

SHAH ALAM - Kempen besar-besaran seperti ‘Belia Benci Rasuah’ perlu digerakkan bagi memupuk kesedaran belia mengenai budaya rasuah dalam negara.

Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM), Hasnul Haniff Harun berkata, cadangan tersebut penting bagi melahirkan barisan generasi pemimpin muda yang membenci rasuah.

Ujar beliau, inisiatif tersebut boleh dijayakan dengan kerjasama antara media tempatan seperti Sinar Harian, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi lain.

“Saya fikir boleh adakan kerjasama lebih besar dengan Sinar Harian atau rakan-rakan NGO serta agensi untuk kita gerakkan ‘Belia benci rasuah’.

“Satu ketika, kempen 'Belia Benci Dadah' pernah digerakkan. Mungkin kita boleh gerakkan kempen besar-besaran seperti itu.

“Ia boleh dipelbagai seperti konsep wacana, konvensyen, seminar dan sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Mengulas lanjut, Hasnul Haniff berkata, antara punca belia terlibat dalam rasuah ialah kurang kefahaman mengenai perkara berkenaan.

Justeru katanya, melalui program tersebut, golongan belia perlu dididik mengenai budaya rasuah yang berlaku di negara ini.

Artikel Berkaitan:

“Mereka tidak tahu bahawa rasuah itu wujud dalam pelbagai bentuk. Ada yang melihat ia semata-mata dalam unsur kewangan, duit dan sebagainya.

“Rasuah juga boleh jadi dalam bentuk permintaan kenaikan pangkat, pemberian hadiah, dan pelbagai kepentingan lain yang bukan semata-mata bersifat kewangan tetapi sebenarnya tingkah laku itu menjurus kepada amalan rasuah yang mungkin tidak diketahui oleh belia kita.

“Sebab itu penting untuk kita gerakkan program berterusan bagi memastikan belia selamat daripada gejala rasuah dalam negara ini,” ujarnya.