Kelab Liga-M perlu lebih praktikal dengan kemampuan kewangan

Stuart Ramalingam
Stuart Ramalingam
A
A
A

MENJELANG sepak mula Liga Malaysia (Liga-M) musim depan, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sekali lagi mengingatkan pasukan yang bertanding tidak dipalit dengan isu tunggakan gaji pemain dan pegawai masing-masing.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, setiap pasukan juga perlu lebih praktikal dengan kemampuan kewangan yang ada bagi mengharungi cabaran baharu tahun depan.

“Kesemua kelab yang bakal beraksi pada tahun 2022 nanti diminta untuk menguruskan bajet termasuk kos masing-masing dengan lebih efisien.

“Ini berikutan, kita masih lagi berada dalam pandemik Covid-19 dan kesemua kelab juga perlu bersedia dengan apa juga keadaan yang bakal berlaku kelak.

“Jadi saya sangat berharap agar isu berhubung tunggakan gaji melibatkan pemain dan pegawai pasukan tidak lagi timbul pada tahun depan,” katanya kepada Sukan Sinar baru-baru ini.

Liga-M 2021 yang melabuhkan tirai bulan lalu menyaksikan beberapa pasukan dihimpit masalah kewangan ekoran negara masih dilanda krisis Covid-19 sehingga menjejaskan sumber pendapatan mereka.

Perak FC adalah antara pasukan yang cukup 'tenat' dalam menghadapi krisis kewangan itu sehingga mengakibatkan tunggakan gaji pemain dan pegawai dalam tempoh beberapa bulan.

Dalam pada itu, Stuart turut mengulas mengenai isu tunggakan gaji yang melanda kem Sarawak United FC selama tiga bulan mencecah RM2 juta yang dilaporkan telah selesai baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

“MFL dengan kerjasama Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) akan memantau jumlah sebenar tunggakan yang perlu dibayar kelab itu kepada pemain dan pegawai terlibat,” ujarnya.