Sila log masuk terlebih dahulu.

Mangsa banjir semakin menurun setakat malam Isnin

Penduduk setempat telah kembali ke rumah masing-masing setelah keadaan banjir semakin pulih ketika tinjauan di Kampung Terusan hari ini. - Foto Bernama
Penduduk setempat telah kembali ke rumah masing-masing setelah keadaan banjir semakin pulih ketika tinjauan di Kampung Terusan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 21,544 mangsa banjir daripada 6,563 keluarga dilaporkan masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di lima negeri setakat malam ini.

Angka itu menunjukkan penurunan berbanding 21,846 petang tadi, dengan kesemua mangsa ditempatkan di 138 PPS di Kelantan, Selangor, Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan.

Di SELANGOR, menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan jumlah mangsa banjir di negeri itu terus menurun kepada 8,644 mangsa di 45 PPS pada malam ini berbanding 8,715 mangsa di 46 PPS pada petang tadi.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam kenyataan pada 6.30 petang, memaklumkan hujan lebat berterusan telah diterima di daerah Hulu Langat selama dua jam.

JPS menasihatkan penduduk di kawasan rendah dan berisiko banjir supaya sentiasa waspada dan mengambil tindakan sewajarnya serta mematuhi arahan pihak berkuasa.

Di NEGERI SEMBILAN, Pengarah APM negeri Lt Kol (PA) Mohd Syukri Madnor berkata mangsa banjir di negeri ini menurun kepada 58 individu daripada 19 keluarga berbanding 82 mangsa daripada 26 keluarga petang tadi.

Katanya, sebuah PPS di Sekolah Kebangsaan Dato Undang Abdullah ditutup pada pukul 4 petang tadi menjadikan dua PPS masih beroperasi di Jelebu setakat ini.

Di PAHANG, aplikasi Info Bencana JKM merekodkan sebanyak 12,692 mangsa banjir masih ditempatkan di 90 PPS di enam daerah iaitu Kuantan, Pekan, Maran, Temerloh, Bentong dan Bera malam ini.

Artikel Berkaitan:

Laman web publicinfobanjir.water.gov.my pula melaporkan hanya dua sungai di Pahang yang berada di paras amaran iaitu Sungai Lipis di Benta dengan trend menaik manakala Sungai Kundang di Maran dengan trend menurun.

Dalam pada itu, Sekreteriat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri melaporkan hampir semua laluan sudah dibuka, kecuali di sembilan lokasi antaranya di Jalan Kuantan-Segamat di Pekan, Jalan Kuala Lipis-Jerantut (Jerantut), Jalan Ulu Dong (Raub), Jalan Bentong-Gua Musang (Lipis) dan Jalan Sungai Lembing (Kuantan).

Jumlah mangsa banjir di KELANTAN mencatatkan penurunan setakat 9 malam ini, apabila 152 orang daripada 46 keluarga berbanding 218 orang daripada 69 keluarga, petang tadi, melibatkan dua PPS yang dibuka kesemuanya di jajahan Pasir Mas.

Dua PPS tersebut adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh dan SK Gual Periok.

Menurut portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui https://publicinfobanjir.water.gov.my, melaporkan tiada sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di MELAKA masih kekal 26 orang daripada lapan keluarga setakat 8 malam ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata hanya PPS Sekolah Kebangsaan Penghulu Benteng di Jasin dibuka bagi menempatkan semua mangsa. - Bernama