Reman ugut bunuh bapa saudara dilanjut

Suspek berusia 34 tahun direman tiga hari lagi untuk siasatan lanjut kerana mengugut mahu membunuh bapa saudaranya.
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki yang dipercayai mengugut mahu membunuh bapa saudaranya, dalam kejadian di Kampung Batu Putih, Chendering di sini, direman lagi tiga hari.

Perintah tahanan reman terhadap lelaki berusia 34 tahun itu dilanjutkan selepas mahkamah membenarkan permohonan pegawai penyiasat bagi meneruskan siasatan kes di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret/Sesyen Kuala Terengganu, Wan Aziantie Wan Ab Karim mengeluarkan perintah sambung reman terhadap lelaki bermula esok hingga 17 Mac ini selepas dia ditahan reman empat hari bermula 11 Mac lalu dan berakhir hari ini.

Menurut sumber, lelaki yang bekerja sebagai nelayan ditangkap selepas berniat mahu menikam dan membunuh bapa saudaranya yang berusia 61 tahun pada 5 Mac lalu ketika datang rumah mangsa kira-kira jam 8 malam.

"Mangsa yang sedang berehat didatangi suspek yang memegang sebilah parang dan memberitahu mahu menikam dan membunuh mangsa kerana tidak berpuas hati terhadap warga emas itu yang dikatakan ada membuat laporan polis mengenai dirinya.

"Suspek baru dapat tahu yang mangsa membuat laporan polis berkaitan tindakan ganas yang dilakukannya terhadap mangsa dan harta bendanya sebelum ini," katanya.

Sumber berkata, akibat ugutan itu, mangsa takut untuk meninggalkan rumah dan isterinya terutama semasa hendak turun ke laut sedangkan dalam masa sama, dia perlu meneruskan aktiviti hariannya bagi mencari rezeki untuk isteri dan anak-anaknya.

"Demi keselamatan dirinya dan ahli keluarga, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis, Chendering untuk tindakan susulan," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia