Malaysia Airports akan ganti sistem Aerotrain di KLIA

No Image Caption
A
A
A

MALAYSIA Airports Holdings Bhd (MAHB) telah memulakan latihan untuk kerja-kerja penggantian Penggerak Penumpang Automatik (APM) yang juga dikenali sebagai sistem Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, Aerotrain yang sedia ada sudah menghampiri peringkat akhir jangka hayatnya dan perlu dinaik taraf untuk memberi perkhidmatan lebih baik kepada penumpang.

“Tidak sesuai untuk meneruskan penggunaan Aerotrain sedia ada. Aset lama lebih mudah rosak dan ia akan menyusahkan penumpang.

"Aerotrain ini menggunakan teknologi lama maka sukar untuk mendapatkan alat ganti," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Projek APM baharu itu telah dianugerahkan kepada Pestech Technology Sdn Bhd (Pestech), ia akan bermula pada Mac, tahun 2022 dan mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan.

Pestech akan bekerjasama dengan Bombardier Transportation dalam projek tersebut yang merangkumi penggantian sistem Aerotrain serta penyelenggaraannya selama sepuluh tahun sehingga tahun 2034.

Iskandar Mizal berkata, Aerotrain baharu akan dinaik taraf bersama infrastruktur sistem landasan dan ia juga akan menyediakan kemudahan kepada lapangan terbang itu dengan kecekapan operasi yang lebih baik.

“Tidak dinafikan akan wujud sedikit kesulitan kepada penumpang dalam tempoh tiga tahun akan datang pada sepanjang tempoh kerja-kerja naik taraf itu.

Artikel Berkaitan:

“Kami berusaha untuk meminimumkan gangguan perkhidmatan, penumpang akan terus menggunakan kemudahan perkhidmatan bas yang telah berjalan dengan baik sebagai perkhidmatan alternatif sejak 2017,” katanya.

Aerotrain semasa telah membawa lebih daripada 300 juta penumpang antara bangunan satelit dan bangunan terminal utama sejak lapangan terbang itu dibuka 23 tahun lalu.

Sejak beberapa tahun lalu, sistem Aerotrain lama itu kerap menghadapi gangguan perkhidmatan, menyumbang kepada ketidakcekapan operasi dan menimbulkan ketidakselesaan kepada penumpang yang harus menggunakan perkhidmatan bas sebagai alternatif. - Bernama