X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 18 Mei 2022

Jumlah mangsa banjir di 4 negeri catat penurunan

Penduduk setempat, Adam Faiz Izham Musa,14, kembali ke rumahnya setelah keadaan banjir semakin pulih ketika tinjauan di Kampung Terusan pada Isnin. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah mangsa banjir terus mencatatkan penurunan dengan 21,846 orang daripada 6,650 keluarga dilapor masih berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di empat negeri pada petang Isnin manakala jumlah mangsa di Melaka kekal.

Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mangsa ditempatkan di 152 PPS di Kelantan, Selangor, Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan.

Di Selangor, aplikasi itu memaklumkan jumlah mangsa terus menurun kepada 8,715 orang daripada 2,458 keluarga di 46 PPS berbanding 8,821 orang di 56 PPS pada sebelah tengah hari Isnin.

Sungai Bernam di Rimba KDR, Sabak Bernam kini berada di paras normal iaitu 0.97 meter berbanding 2.36 meter pada jam 11.30 pagi.

Majlis Bandaraya Shah Alam menerusi Twitter rasminya memaklumkan sesi taklimat diadakan setiap pagi untuk menyelaras tugasan di lapangan termasuk penyelarasan agensi, pihak berkuasa tempatan dan sukarelawan yang membantu kerja-kerja pembersihan.

Di Pahang, jumlah mangsa pada petang Isnin ialah 13,315 orang daripada 4,247 keluarga dengan jumlah PPS yang masih beroperasi ialah 97, menurut aplikasi Info Bencana JKM.

Enam daerah yang mencatatkan jumlah mangsa paling ramai ialah Temerloh diikuti Bentong, Pekan, Maran, Bera dan Kuantan.

Laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan hanya dua sungai yang berada di paras amaran dengan trend menurun petang ini iaitu Sungai Kundang dan Sungai Pahang di Lubuk Paku, kedua-duanya di Maran.

Setakat ini, hampir semua laluan sudah dibuka kecuali di sembilan lokasi antaranya Jalan Kuantan-Segamat di Pekan, Jalan Kuala Lipis-Jerantut (Jerantut), Jalan Kuala Lumpur-Maran (Maran), Jalan Ulu Dong (Raub) dan Jalan Bentong-Gua Musang (Lipis).

Jumlah mangsa banjir di Kelantan pula mencatatkan penurunan setakat jam 6 petang iaitu seramai 218 orang daripada 69 keluarga berbanding 347 orang daripada 117 keluarga pada sebelah tengah hari dengan melibatkan dua PPS yang dibuka di jajahan Pasir Mas.

Kedua-dua PPS itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh dan SK Gual Periok.

Portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran melalui https://publicinfobanjir.water.gov.my, melaporkan tiada sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya.

Di Negeri Sembila pula, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) negeri, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Syukri Madnor berkata. mangsa banjir menurun kepada 82 orang daripada 26 keluarga berbanding pada sebelah padi dengan 128 orang mangsa daripada 37 keluarga dan mereka ditempatkan di tiga PPS yang masih dibuka di Jelebu.

Di Melaka, jumlah mangsa banjir masih kekal 26 orang daripada lapan keluarga setakat petang Isnin.

Pengarah APM negeri, Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata hanya PPS Sekolah Kebangsaan Penghulu Benteng di Jasin dibuka bagi menempatkan semua mangsa. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!