Sila log masuk terlebih dahulu.

Agensi bawah Kementerian Pengangkutan diminta siap siaga

Ka Siong pada sidang media hari ini. Foto Bernama
Ka Siong pada sidang media hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Semua agensi di bawah Kementerian Pengangkutan diminta supaya bersiap siaga berdepan gelombang kedua banjir dalam negara, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Ka Siong berkata, beliau telah berbincang dengan Ketua Setiausaha kementerian itu supaya kesemua agensi berkenaan membuat persediaan awal berdepan banjir.

Beliau sudah meminta semua agensi untuk melihat situasi semasa dan memaklumkan perkembangan kepada pihak kementerian, dengan setiap langkah yang diambil perlu berdasarkan SOP (prosedur operasi standard) ditetapkan.

“Salah satunya sepertimana yang telah dilakukan oleh CEO (Ketua Pegawai Operasi) ataupun Presiden Prasarana (Prasarana Malaysia Berhad) iaitu apabila dalam keadaan terdesak, rakyat tiada tempat nak pergi, terpaksa lari ke stesen.

Jadi itulah tempat yang mereka berteduh, itulah tempat yang kita sudi menerima mereka, dan kita akan atur untuk bagaimana kita nak jadikan tempat itu sebagai PPS (pusat pemindahan sementara), ini sebagai satu contoh,” katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin memaklumkan, kerajaan bersetuju mewujudkan pasukan petugas khas pasca banjir dan untuk persediaan menghadapi banjir gelombang kedua.

Ka Siong berkata, agensi di bawah Kementerian Pengangkutan akan membantu sedaya upaya dan sudah bersiap siaga membantu mangsa banjir.

“Beberapa negeri pun saya rasa mereka ada mesyuarat dan pagi tadi saya berbincang dengan beberapa pihak, dan saya nampak persediaan kita memang teratur, untuk perkhidmatan pengangkutan awam, seperti bas dan rel, kita sentiasa memantau.

Artikel Berkaitan:

“Apabila banjir berlaku dan ada stesen tertentu terpaksa ditutup kerana air yang deras, atas faktor keselamatan, kita akan pastikan ianya akan dilakukan mengikut SOP,” katanya.

Katanya, ia termasuk KTMB (Keretapi Tanah Melayu Berhad), APAD (Agensi Pengangkutan Awam Darat), JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) dan Jabatan Laut bersiap siaga untuk membantu. - Bernama