Pusat Internet terus tingkat taraf hidup komuniti

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kemudahan serta program yang disediakan di Pusat Internet kelolaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terus mendapat sambutan masyarakat tempatan dengan jumlah keanggotaan melebihi 590,000 orang yang merangkumi 57 peratus pelajar.

Dalam kenyataannya hari ini, MCMC berkata sehingga kini, sebanyak 870 Pusat Internet telah dibangunkan di seluruh negara bagi memberikan kemudahan tersebut di kawasan yang kurang mendapat liputan selain menyemai kemahiran dan pengetahuan berasaskan komputer kepada komuniti setempat.

Selain itu, program pembangunan keusahawanan turut berjaya membantu usahawan tempatan dalam talian mempromosi produk-produk ke pasaran yang lebih luas sekali gus meningkatkan pendapatan sebanyak lebih 60 peratus.

Sehingga kini, seramai 16,393 usahawan dalam talian telah mengambil bahagian dalam program-program pembangunan usahawan yang dijalankan di Pusat Internet seluruh negara.

Pusat Internet juga bertindak sebagai sebuah pusat latihan ICT bagi melatih golongan muda dan warga emas memperkasa kemahiran asas komputer, memberi pendedahan kepada maklumat penting serta mendapatkan khidmat nasihat penggunaan aplikasi e-kerajaan.

MCMC turut memaklumkan sebuah hab pembelajaran digital “JomStudi” yang merupakan inisiatif bersama Digi, Astro dan Media Prima dilancarkan di Pusat Internet Kampung Kering, Labu yang menggabungkan kandungan pendidikan dalam satu platform bagi membolehkan pelajar sekolah mengakses dan meneroka kandungan digital.

Program “eKelas” yang diperkenalkan oleh Maxis pada 2017 pula mendedahkan pelajar tingkatan satu, dua dan tiga kepada pembelajaran digital yang memberi penekanan kepada subjek Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris.

Dalam usaha memupuk kemahiran seperti coding dan robotik bagi memenuhi keperluan Revolusi Industri 4.0, MCMC turut merancang mempergiat program seperti ‘myMaker’ bagi meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dengan mengguna pakai Internet of Things (IOT). - Bernama

Artikel Berkaitan: