Dua maut dirempuh di lorong kecemasan

Kemalangan di Kilometer 241.6 Lebuhraya Utara- Selatan, menghala utara di Rembau pada awal pagi Isnin.
Kemalangan di Kilometer 241.6 Lebuhraya Utara- Selatan, menghala utara di Rembau pada awal pagi Isnin.
A
A
A

REMBAU - Dua lelaki yang berada di lorong kecemasan maut selepas dirempuh sebuah treler di Kilometer 241.6 Lebuhraya Utara-Selatan, menghala utara di sini pada awal pagi Isnin.

Saifuddin Abdullah, 50, merupakan seorang pemandu lori dan R Morgana Krishnan, 49, seorang 'runner' Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) disahkan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Dalam kejadian kira-kira 12.30 malam itu, Saifuddin sedang memberhentikan lorinya di lorong kecemasan kerana kehabisan minyak, manakala Morgana datang membawa botol minyak.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, kemalangan membabitkan tiga jenis kenderaan iaitu sebuah lori, treler dan motosikal.

"Siasatan awal mendapati pemandu lori (Saifuddin) sedang berhenti akibat kehabisan minyak di lorong kecemasan dan dibantu oleh Morgana yang datang menaiki motosikal membawa botol minyak.

"Kemudian datang sebuah treler dari arah Ayer Keroh, Melaka menghala ke Senawang merempuh kedua-dua mangsa yang berdiri di sebelah kanan lori berkenaan. Ia menyebabkan kedua-dua mangsa melambung dan jatuh di atas lorong kecemasan," katanya di sini pada Isnin.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, seterusnya dibawa ke unit forensik Hospital Rembau untuk bedah siasat.

"Bagaimanapun pemandu treler berkenaan meninggalkan lokasi selepas kemalangan. Usaha untuk mengesan pemandunya sedang dijalankan.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan lanjut masih diteruskan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," jelas beliau.