Sila log masuk terlebih dahulu.

Covid-19: Persidangan DUN Melaka dipendekkan kepada sehari

Persidangan Pertama (Khas) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-15 yang sepatutnya berlangsung selama empat hari bermula Isnin hingga Khamis ini, dipendekkan kepada sehari sahaja.
Persidangan Pertama (Khas) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-15 yang sepatutnya berlangsung selama empat hari bermula Isnin hingga Khamis ini, dipendekkan kepada sehari sahaja.
A
A
A

MELAKA - Persidangan Pertama (Khas) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-15 yang sepatutnya berlangsung selama empat hari bermula Isnin hingga Khamis ini, dipendekkan kepada sehari sahaja.

Pemendekan hari persidangan itu diusulkan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali ekoran penularan Covid-19 dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), kakitangan dan petugas DUN berkenaan.

Sulaiman berkata, usul tersebut dicadangkan berdasarkan Peraturan-Peraturan Mesyuarat DUN 9(3) dan 17(5)(m) selain mengikut saranan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka bagi mengelak jangkitan wabak berkenaan.

"Peraturan tersebut menyatakan bahawa walau apapun peruntukan peraturan mesyuarat, DUN boleh dengan undi tertentu mengambil keputusan membincangkan apa-apa urusan khas dengan tidak mengikut susunan lazim dan satu usul bagi pengundian itu hendaklah didahulukan daripada semua urusan yang lain.

"Seterusnya Peraturan-Peraturan Mesyuarat DUN 17(5)(m) menyatakan bahawa usul hendaklah menjalankan dahulu mana-mana urusan yang tertentu dengan tidak mengikut susunan biasa," katanya ketika mencadangkan usul berkenaan.

Sulaiman berkata, pada persidangan DUN tersebut tiada sesi pertanyaan lisan dan bertulis serta ucapan penangguhan diadakan ekoran kekangan masa, sebaliknya akan memberi tumpuan kepada pembentangan Bajet 2022 Negeri Melaka.

Usul itu disokong Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang turut berkata, persidangan itu meliputi agenda yang telah disusun mengikut keutamaan bagi melicinkan urusan pentadbiran kerajaan negeri semasa pandemik Covid-19 yang masih menular di negeri itu.

Usul tersebut mendapat sokongan 15 ADUN, berkecuali (enam orang) dan tidak hadir (tujuh orang). - Bernama

Artikel Berkaitan: