2,757 kes baharu Covid-19

Kementerian Kesihatan pada Isnin merekodkan 2,757 kes positif baharu Covid-19. - Foto Bernama
Kementerian Kesihatan pada Isnin merekodkan 2,757 kes positif baharu Covid-19. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Sebanyak 2,757 kes baharu Covid-19 direkodkan pada Isnin menjadikan jumlah kumulatif kini 2,743,936.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes baharu itu, hanya 40 dalam kategori tiga, empat dan lima manakala bakinya adalah kategori satu dan dua iaitu tidak bergejala serta bergejala ringan.

“Kes harian itu melibatkan 2,594 kes tempatan dan 163 kes import selain 297 kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) manakala 169 kes memerlukan bantuan pernafasan,” menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19.

Beliau berkata, bagi kes sembuh pula, sebanyak 4,620 kes dicatatkan menjadikan kumulatif pesakit pulih ialah 2,669,654.

Tujuh kluster baharu dikesan menjadikan jumlah yang masih aktif ialah 223 manakala kadar kebolehjangkitan (Rt) di negara ini ialah 0.90 setakat Ahad.

Dr Noor Hisham berkata, sejumlah 429 kes Covid-19 dikesan dalam kalangan mangsa banjir membabitkan 11 di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 3 petang Isnin.

Beliau berkata, terdapat satu kluster komuniti pertama melibatkan penularan Covid-19 dalam kalangan mangsa banjir di sebuah PPS di Bentong, Pahang telah dilaporkan pada Isnin.

“Kes indeks bagi Kluster Karak Setia ini merupakan seorang perempuan warganegara Malaysia yang dikesan positif pada 19 Disember 2021 melalui saringan individu bergejala. Kes mula bergejala demam, batuk, selesema dan hilang deria bau sejak 18 Disember 2021,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Setakat 12 tengah hari Isnin, beliau berkata, seramai 104 individu dalam kluster itu telah disaring dengan 10 daripadanya dikesan positif Covid-19 manakala punca penularan disyaki pergaulan dalam kalangan mangsa banjir di PPS dan kesemua kes positif serta kontak rapat telah diasingkan daripada mangsa banjir lain.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 99 kes penyakit berjangkit dikesan dalam kalangan mangsa banjir melibatkan 51 jangkitan saluran pernafasan akut (ARI), 39 penyakit kulit dan sembilan lagi gastroenteritis akut.

Dr Noor Hisham juga berkata, Malaysia mencatatkan penurunan 18.6 peratus kes baharu untuk Minggu Epidemiologi (ME) ke-51 dari 19 hingga 25 Disember iaitu daripada 27,698 kes (ME ke-50) kepada 22,554 kes (ME ke-51) selain purata kes aktif turut mencatatkan penurunan 13 peratus dengan purata 48,218 kes pada ME ke-51.

Beliau bagaimanapun berkata, kes kematian meningkat sebanyak 15.2 peratus dengan 242 kematian pada ME ke-51 berbanding 211 kematian pada ME ke-50 dan peningkatan itu berlaku setelah penurunan kes kematian dicatatkan selama tujuh minggu berturut-turut pada ME ke-43 sehingga ME ke-50.

“Purata kes yang memerlukan rawatan di ICU menunjukkan penurunan sebanyak 12 peratus iaitu 316 kes (ME ke-50) kepada 277 kes (ME ke-51).

“Purata kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan turut menunjukkan penurunan 10.6 peratus iaitu dari 140 kes (ME ke-50) ke 125 kes (ME ke-51),” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga 25 Disember, terdapat kumulatif 6,101 kluster dilaporkan serta 223 kluster aktif dan ini menunjukkan penurunan 11.5 peratus berbanding ME ke-50. - Bernama