2021 jadi saksi kebangkitan GPS, menang besar pada PRN Sarawak

Gambar bernama
Gambar bernama
A
A
A

KUCHING - Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) yang berakhir minggu lepas memuktamadkan kebangkitan Gabungan Parti Sarawak (GPS), yakni persepakatan oleh empat parti tempatan Sarawak yang diberi mandat kukuh untuk mentadbir negeri Sarawak bagi tempoh lima tahun akan datang.

Tarikh PRN itu dinantikan dengan penuh debaran oleh semua yang terlibat apabila pilihan raya itu pada mulanya ditangguhkan selepas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan darurat di seluruh Sarawak dari 2 Ogos hingga Februari tahun depan, susulan kemunculan pandemik Covid-19.

Bagaimanapun pada 3 November, baginda memperkenankan pembatalan proklamasi darurat bagi negeri Sarawak setelah berunding dengan Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud, sekali gus memberi laluan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan tarikh PRN12.

PRN12 ‘dimeriahkan’ dengan rekod penyertaan 349 calon, yang terdiri daripada 82 daripada GPS, 73 daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK), 70 Parti Sarawak Bersatu (PSB), 28 PKR, 26 DAP, 15 Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi), 11 Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB), lapan Parti Amanah Negara (Amanah), lima Parti Sedar Rakyat Sarawak (Sedar), satu PAS dan 30 calon Bebas.

Antara perkara menarik yang dibangkitkan di awal PRN ialah kemungkinan timbul kekeliruan berhubung simbol yang digunakan dalam kalangan parti politik terlibat, apabila kali ini ada beberapa parti yang bertanding menggunakan simbol burung 'Kenyalang' hampir sama, dan ada juga kalangan pengundi nampak ‘sedar’ dengan sesuatu yang baharu pada PRN kali ini, yakni kali ini tiada lagi simbol 'dacing' kelihatan sebagaimana PRN sebelumnya.

Keempat-empat parti komponen GRS pada pilihan raya negeri sebelum ini bertanding sebagai komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak, dan menggunakan lambang ‘dacing’ sejak sekian lama, namun selepas Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengambil keputusan untuk keluar daripada BN pada Jun 2018, ia menandakan permulaan satu titik tolak baharu dalam politik Sarawak, yang menyaksikan kebangkitan GRS, menggunakan lambang Burung Kenyalang.

Kali pertama turun gelanggang sebagai satu persepakatan parti politik tempatan tanpa bertanding atas tiket BN, GRS terus menang dengan penuh bergaya apabila berjaya membolot 76 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan pada 21 Disember lepas, naik empat kerusi berbanding keputusan PRN 2016.

Bagaimanapun GRS kehilangan seorang tokoh yang menjadi salah seorang tunjang pentadbiran negeri apabila presiden parti PRS, yang juga salah seorang Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri James Masing, meninggal dunia pada 31 Oktober hanya tiga hari sebelum Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pembatalan proklamasi darurat.

Artikel Berkaitan:

Semasa kemenangan GRS menjadi penutup peristiwa bersejarah bagi Sarawak tahun ini, permulaan tahun 2021 akan dikenang dengan tragedi yang memilukan, apabila pada 1 Jan negara dikejutkan dengan kemalangan yang mengorbankan sembilan nyawa.

Tragedi itu berlaku selepas sebuah kenderaan pacuan empat roda terhumban ke dalam sungai di tempat pendaratan feri Triso, di Batang Lupar, salah satu sungai utama di Sarawak, yang cukup terkenal dengan habitat buaya.

Kemalangan itu mengorbankan Ronany Ting, 33, kakaknya Siti Aisha Abdullah, 36, anak saudaranya, Nor Shuhada Mohamad, 16; Khairunnisa Muhamad, 14; Alvin Phang, 12; Wallace Phang dan Mohd Aiman Mohd Hamdan, kedua-duanya berumur tujuh tahun, serta Muhd Mustaqim Mohd Hamdan yang baru berumur lima tahun.

Tahun ini juga menyaksikan seluruh dunia terus suram dek bencana yang dibawa oleh pandemik Covid-19, dan Sarawak tidak terkecuali, apabila usaha mengekang penularan virus itu menghadapi cabaran yang amat getir susulan kemunculan varian baharu - Delta.

Daripada 1,117 kes positif yang dilaporkan pada tahun 2020, jumlah itu melonjak dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, sebelum jumlahnya turun dengan amat perlahan sekali, dan jumlah keseluruhan kes yang dicatatkan tahun ini sehingga 20 Disember adalah 250,916.

Pada satu ketika jumlah harian kes itu melonjak sehingga mencapai angka 5,000 kes namun dengan kejayaan program vaksinasi di Sarawak, jumlah harian kes mulai menurun pada pemulaan September, dan pada 20 Disember jumlah harian kes yang dicatatkan cuma 36.

Kerajaan negeri di bawah pimpinan GPS yang ketika itu sedang menantikan penuh sabar waktu untuk mendapat mandat baharu bagi mentadbir negeri, terus bekerja keras untuk melangkah gagah bagi menghulur bantuan kepada seluruh penduduk negeri yang terkesan dengan pandemik itu.

Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) yang diperkenalkan pada tahun 2020 terutama bagi membantu penduduk Sarawak yang terkesan dengan pandemik serta arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), diteruskan pada tahun ini dan sehingga Disember lepas bantuan bernilai lebih RM5 bilion telah diagihkan.

Salah satu berita hebat yang disambut baik rata-rata penduduk Sarawak adalah apabila Dewan Rakyat meluluskan satu Rang Undang-undang bagi meminda Perlembagaan Persekutuan yang mengukuhkan lagi kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.

Pada 23 Oktober lepas, Sarawak sekali lagi menjadi pusat perhatian ramai apabila ia menjadi tuan rumah kepada majlis pelancaran Keluarga Malaysia, satu konsep yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sejak beliau menjawat jawatan Perdana Menteri pada bulan Ogos. - Bernama